Sembilan lokasi Pasar Agro Selangor bermula hari ini

0
122

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Kerajaan Selangor melancarkan Pasar Agro Selangor di sembilan lokasi bermula hari ini bagi mengatasi masalah lambakan bahan segar yang tidak terjual.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu berikutan pihaknya mengesan masalah dalam rantaian pembekalan barangan berkenaan, mengakibatkan berlakunya lambakan sayuran dan buahan tidak terjual dalam pasaran ketika ini.

“Lambakan akhirnya membawa kepada pembuangan barangan berkenaan, sehubungan itu, Selangor Agro Market akan bertindak sebagai lokasi penyimpanan dan jualan bahan seperti sayuran serta buahan.

Amirudin Shari

“Ia juga bermatlamat untuk membantu golongan petani supaya rangkaian bekalan barangan berkenaan tidak putus,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Aminuddin, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta dalam bentuk dana kitaran untuk dimanfaatkan bagi tujuan penyimpanan dan jualan barangan itu di lokasi terpilih.

Menurut Aminuddin, program itu bakal memanfaatkan 300,000 pengguna diselaraskan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) berkonsepkan penghantaran atau beli sendiri.

“Ini adalah sepenuhnya inisiatif kerajaan negeri dan pengumuman fasa kedua Pakej Rangsangan Selangor Prihatin akan diumumkan minggu hadapan,” katanya.

Orang ramai boleh membuat pesanan secara dalam talian di laman web www.agrobazaar.com.my dan mengambilnya di tiga lokasi yang ditentukan iaitu di Holysmoke Cafe, Seksyen 13 dan Restoran Mak Uda, Seksyen 15 di Shah Alam serta Mad About Cafe, Petaling Jaya.

Pengguna juga boleh datang sendiri untuk membeli bahan mentah berkenaan iaitu di Pusat Operasi FAMA di Dengkil, Puchong, Kuala Selangor dan Sabak Bernam, selain pasar borong tani Selayang serta My Farm Outlet Putrajaya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here