Semua yang pulang ke Malaysia wajib kuarantin 14 hari

0
134

PUTRAJAYA- Semua rakyat Malaysia yang pulang ke negara ini wajib menjalani proses kuarantin diri selama 14 hari di lokasi yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah berkenaan diambil bagi membendung penularan Covid-19 yang lebih serius di negara ini.

Beliau berkata, semua sedia maklum bahawa banyak pertambahan kes positif Covid-19 di banyak negara lain adalah disebabkan oleh kepulangan rakyat dari luar negara.

“Wuhan misalnya, mereka dapat mengawal wabak terus merebak. Tetapi, difahamkan, apabila rakyat mereka pulang berlaku semula kes positif Covid-19.

“Proses kuarantin diri selama 14 hari ini akan bermula pada 3 April, ia melibatkan pesawat komersial yang tiba negara ini dan pesawat khas bawa pulang rakyat Malaysia.

“Kita sedar, ramai rakyat yang terkandas ingin pulang ke Malaysia. Dalam masa sama, kita nasihatkan juga mereka tidak perlu pulang dan berada di lokasi masing-masing.

“Ini kerana mereka mempunyai tempat tinggal dan juga kemudahan-kemudahan lain di negara yang mereka berada sekarang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, sekiranya masih ada yang berhasrat untuk pulang ke Malaysia, mereka perlu lalui proses kuarantin untuk sekat penularan Covid-19.

“Mereka akan disaring untuk melihat status kesihatan dan selain perlu mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

“Jadi saya nasihatkan agar ahli keluarga supaya tidak perlu tunggu di lapangan terbang untuk sambut ahli keluarga kerana mereka akan dibawa terus ke pusat kuarantin,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan pihaknya sedang berunding dengan sebuah kerajaan negeri yang ingin menaja 100 biji bas bagi memudahkan urusan pengangkutan ke pusat kuarantin.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here