Seorang anggota TLDM disyaki dijangkiti Covid-19

0
332
Seorang anggota TLDM KD mahawangsa disyaki dijangkiti Covid-19

oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari KD Mahawangsa disyaki dijangkiti Covid-19 setelah isteri anggota berkenaan bergaul rapat dengan rakan sekerja yang juga disyaki menghidapi virus berkenaan.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintah Armada Barat Lumut dalam kenyataan hari ini berkata, ketika ini seluruh keluarga anggota yang diklasifikasikan sebagai pesakit sedang disiasat (PUI) sedang menjalani kuarantin seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan.

Katanya, TLDM turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan melaksanakan kuarantin ke atas warga KD Mahawangsa setelah maklumat tentang tanda-tanda atau jangkitan Covid-19 diterima.

“Tindakan sama telah dilaksanakan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan dan prosedur ini telah dilaksanakan ke atas KD Lekiu yang tamat penugasan mengiringi Kapal Petronas Floating Liquified Natural Gas 2 (PFLNG 2) dari Korea Selatan pada 4 Mac lalu.

“Sehingga kini, tiada anggota TLDM yang disahkan positif Covid-19,” kata kenyataan tersebut.

TLDM turut menasihatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan mematuhi peraturan dan PKP yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan.

Menurutnya, TLDM masih melaksanakan tugas dan tanggungjawab seperti biasa serta tidak terjejas dengan penularan Covid-19.

“Sebarang keputusan rasmi atau berkaitan dengan anggota yang dijangkiti hanya akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan,” kata kenyataan itu. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here