Seorang kakitangan Plus positif Covid-19

0
196
Seorang kakitangan Plaza Tol Ebor disahkan positif Covid-19

CYBERJAYA – Plus Malaysia Bhd. (Plus) mengesahkan seorang kakitangannya yang bertugas di Plaza Tol Ebor positif Covid-19.

Menurut Plus dalam satu kenyataan, kakitangan tersebut yang merupakan pembantu khidmat pelanggan pada ketika ini sedang menerima rawatan di sebuah pusat perubatan kerajaan.

“Plus telah mengarahkan semua kakitangannya yang mempunyai hubungan rapat dengan kakitangan terbabit supaya mengadakan pemeriksaan dan saringan kesihatan serta dikuarantin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu Plus memberi jaminan bahawa kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan akan diadakan di plaza tol terbabit.

Kenyataan media yang dikeluarkan Plus hari ini

Sehubungan itu, katanya, Plaza Tol Ebor (plaza masuk) menghala ke Lebuhraya Elite akan ditutup sementara bermula pukul 12 pagi ini hingga 11.59 malam esok.

“Oleh itu, pelanggan dari Shah Alam, Batu Tiga dan kawasan sekitar menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya dan arah selatan dinasihatkan supaya memasuki Lebuhraya Elite menerusi Plaza Tol Shah Alam atau Seafield sepanjang tempoh penutupan itu,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, susulan langkah Perintah Kawalan Pergerakan, semua tempat rehat dan rawat (R&R) hanya menyediakan jualan makanan secara bungkus.

“Selain itu, pelanggan beragama Islam dinasihatkan supaya membawa sendiri kelengkapan beribadat seperti sejadah, telekung dan kain pelikat untuk menunaikan solat di surau R&R.

“Plus juga menasihatkan pengunjung R&R yang berhenti untuk membeli makanan supaya beratur dalam jarak satu meter di antara satu sama lain. Hanya seorang wakil daripada setiap kenderaan dibenarkan keluar membeli makanan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here