Sesak lebih satu kilometer ke Malakat Mall

0
477
Selain tempat letak kereta yang penuh dalam bangunan, orang ramai terpaksa meletakkan kereta di bahu jalan untuk berkunjung ke Malakat Mall

RAUDHAH CITY – Orang ramai dari seluruh kawasan dalam dan luar Lembah Klang terus tidak putus-putus datang ke pusat beli belah pertama BMF di Malaysia, Malakat Mall bagi memberikan sokongan terhadap produk dan perniagaan Muslim.

Tinjauan Malakat Tribune seawal 9 pagi hari ini, pasar raya Raudhah Grocer dan medan selera, Bunch-oh dalam pusat beli belah itu menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli barangan keperluan harian dan untuk menjamu selera.

Menjelang tengah hari pula, pusat beli belah yang terletak di CBD3 Cyberjaya itu terus sesak dengan kehadiran pengunjung sehingga ada yang terpaksa meletak kereta pada jarak lebih satu kilometer.

Seorang pelanggan Malakat Mall, Nordin Mohd. Ali yang sanggup datang dari Jalan Ipoh, Kuala Lumpur berkata, tujuannya datang untuk memberikan sokongan kepada produk BMF keluaran usahawan Muslim.

Nordin Mohd. Ali

“Saya datang ke sini untuk mencari produk orang kita yang kita rasa yakin. Sekurang-kurangnya di sini ada produk orang kita.

“Malah, saya pun kagum rupa-rupanya banyak produk keluaran usahawan Muslim yang berada di pasaran sebagai contoh produk susu krimer, rupanya ada orang kita yang keluarkan produk ini padahal sebelum ini langsung tidak pernah lihat,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Dalam pada itu, seorang lagi pelanggan Malakat Mall, Maizura Malik dari Bandar Seri Putra, Bangi turut berkongsi perasaan sama, katanya, dia hadir ke pusat beli belah itu untuk melihat produk Muslim yang dijual terutamanya dalam pasar raya Raudhah Grocer.

Dalam pada itu, beliau juga berharap supaya pusat beli belah itu dapat dibuka di kawasan lain bagi memudahkan orang ramai mendapatkan produk Muslim.

Maizura Malik

“Ada produk usahawan Muslim yang pernah saya lihat dan ada yang belum pernah dilihat tetapi ada juga produk keluaran Muslim yang mempunyai nama yang sama dengan kawan-kawan, dan kadang-kadang benda ini menjadi bahan usikan bersama kawan-kawan lain,” katanya sambil tertawa kecil.

Sementara itu, menurut Ahmad Azim Fikri yang datang dari Dengkil, dia menyambut baik usaha untuk mewujudkan sebuah pusat beli belah BMF seperti Malakat Mall sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan ekonomi umat Islam.
Katanya, dia berharap pada masa hadapan pusat beli belah itu dapat diperluaskan ke kawasan-kawasan lain di seluruh negara.

“Harapan saya supaya Malakat Mall dapat dibuka dengan lebih banyak di seluruh negara. Saya lihat kalau ditambah lagi jenama-jenama lain, suatu hari nanti Malakat Mall akan dapat berada setanding dengan pusat beli belah lain yang ada di Malaysia,” ujarnya.

Ahmad Azim Fikri

Beliau berkata, meskipun terpaksa berjalan jauh kerana ruang tempat letak kereta penuh, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat orang ramai untuk menyokong produk BMF keluaran usahawan Muslim.-MT

Coach Fadzil (kanan) bersama pemenang pertandingan mewarna kanak-kanak di Malakat Mall hari ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here