Siapakah 14 pemimpin UMNO jadi menteri, timbalan menteri?

0
246

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Seramai 14 pemimpin UMNO sah dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kabinet baharu hari ini.

Apa yang menarik dalam media sosial ramai warga maya berteka teki menanti siapakah pemimpin UMNO yang dipilih menerajui setiap kementerian itu.

Pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini akhirnya menjawab segala spekulasi yang menjadi tanda tanya warga maya sejak beberapa hari lalu.

Berikut adalah senarai pemimpin yang dipilih bersama jawatan mereka.

Mereka yang dilantik ialah Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Menteri Kanan – Menteri Pertahanan; dan Setiausaha Agung UMNO yang juga Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan).

Seterusnya, Ketua Penerangan UMNO merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, manakala Ketua Wanita UMNO yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad, sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang terpilih pula ialah Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilantik sebagai Menteri Luar Negeri manakala bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pula Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Perdana Menteri kelapan itu turut melantik Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique sebagai Menteri Perpaduan Negara, sementara Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr. Adham Baba, sebagai Menteri Kesihatan.

Halimah pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala Dr. Adham ialah bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi.

Sementara itu, Ahli Parlimen UMNO yang dilantik sebagai Timbalan Menteri ialah Datin Mastura Yazid (Kuala Kangsar) di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas).

Manakala Ahli Parlimen Kuala Krau yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri I sementara Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin (Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia).

Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah pula dilantik menjadi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, manakala Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad ialah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar. -MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here