‘Sila duduk di rumah’- Muhyiddin

0
118

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini merayu agar orang ramai berada di rumah atau ‘ just stay at home’ sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Muhyiddin berkata, dalam tenpoh 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula hari ini hingga 31 Mac, orang ramai diminta luangkan masa bersama anak, isteri serta ahli keluarga dan perlu keluar ke mana-mana.

Beliau berkata, dengan cara itu, orang ramai terhindar daripada jangkitan Covid-19 selain penularan wabak berkenaan dapat dibendung dan itu adalah tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

“Tujuannya bukan untuk membolehkan saudara-saudari balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasaraya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan.

“Tujuannya ialah supaya saudara-saudari duduk di rumah. ‘Stay at home and protect yourself and your family’. Saya sebutkan perkara ini kerana semalam ramai yang balik ke kampung.

“Saya lihat lebuh raya sesak dengan kenderaan menuju ke arah utara, selatan dan timur. Stesen bas juga sesak dengan orang ramai yang ingin pulang ke kampung.

“Saya ingin merayu kepada saudara-saudari. Tolonglah, berada di tempat anda sekarang. Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur. Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru.

“Yang ada di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang. Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini sahaja,” katanya dalam perutusan khas malam ini.

Menurut Muhyiddin, langkah berkenaan diambil kerana kerajaan mahu putuskan rantaian jangkitan supaya jumlah orang yang dijangkiti wabak Covid-19 ini dapat dikurangkan.

“Kenapa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini selama dua minggu? Ini kerana Covid- 19 mempunyai hayat inkubasi (incubation) dua minggu.

“Terdapat kes di mana simptom hanya muncul selepas itu. Kerajaan berharap selepas habisb tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas dari Covid-19,” katanya.

Sementara itu katanya, virus Covid-19 berjangkit dari manusia ke manusia menerusi sentuhan dan jika orang ramai bergerak ke sana-sini, apatah lagi bersesak di tempat awam, kemungkinan untuk bersentuhan adalah tinggi.

“Kerana itu, kerajaan umum penutupan sekolah supaya anak-anak kita tidak perlu pergi ke sekolah. Jadi mereka tidak akan bersentuhan dengan rakan-rakan yang mungkin membawa virus Covid-19.

“Orang ramai juga tidak perlu ke tempat kerja supaya tidak bersentuhan dengan orang lain yang mungkin membawa virus ini. Inilah tujuannya.

“Mungkin ada yang bertanya, kalau duduk di rumah sahaja, bagaimana dengan keperluan harian? Bolehkah pergi ke pasar? Atau kedai makan?.

“Jawapannya boleh. Pasar masih dibuka. Tetapi amalkan penjagaan kesihatan yang rapi. Elakkan bersentuhan dengan cara menjarakkan diri anda,” ” katanya yang turut memaklumkan sebanyak 117 kes baharu positif Covid-19 dicatatkan hari ini di Malaysia.- MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here