STC peluang usahawan pasar produk Muslim

0
209

RAUDHAH CITY – Sebuah Pusat Transformasi Industri Kecil dan Sederhana (STC) ditubuhkan di Malakat Mall di sini bagi memberi peluang usahawan Muslim memasarkan produk mereka selain diperluaskan ke 100 lagi pusat beli belah itu dalam tempoh 10 tahun.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, ini merupakan peluang terbaik buat usahawan Muslim dalam meningkatkan penguasaan sektor runcit yang kini hanya dikuasai lapan peratus oleh usahawan bumiputera sahaja.

“Kita akan mewujudkan perkongsian pasaran daripada runcit kepada 30 peratus seterusnya menjadi 38 tahun dalam tempoh 10 tahun.

“Jika mahu mencapai sasaran RM30 bilion dalam tempoh 10 tahun perlu ada perancangan serta model perniagaan yang mantap,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Praperasmian Malakat Mall di Raudhah City, Cyberjaya hari ini.

Menurut Mohd. Fadzil,  sebagai pembimbing usahawan yang diiktiraf, beliau mahu usahawan Muslim tidak melepaskan ruang dan peluang yang disediakan.

Jelas beliau, Malakat Mall akan menjadi pusat pengedaran produk serta jenama-jenama yang diwujudkan bagi diperluaskan ke 100 pusat beli belah itu nanti.

Tambahnya, apabila Malakat Mall kedua dibuka, pihaknya membuka peluang kepada usahawan dikawasan itu untuk menguruskan perniagaan jenama tersebut.

“Sebagai contoh, mini Malakat Mall di Masjid Tanah, Melaka. Walaupun kecil, kita buat versi kecil supaya memberi peluang kepada usahawan di situ untuk memiliki jenama tersebut.

“Kita hendak tolak kapitalis. Kita hendak membetulkan sistem ekonomi kita,” ujarnya.

Beliau juga memberi contoh bagaimana restoran Banch-Oh yang menggabungkan konsep Starbuck dan kopitiam dibawah satu jenama itu boleh difrancais tanpa dikenakan yuran dan hanya membayar royaliti apabila perniagaan diusahakan usahawan terbabit berjaya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, beliau telah mengarahkan bahagian operasi untuk membantu peniaga bazar raya yang beroperasi di tingkat dua pusat beli belah itu dalam meningkatkan jualan mereka.

Kata beliau, tanggungjawab pasukannya adalah untuk memastikan peniaga terbabit tidak rugi untuk menjana pendapatan.

“Dengan duit yang ada boleh kembangkan lagi perniagaan mereka. Mungkin masa mula-mula masuk membuka gerai kecil namun mana tahu selepas tiga bulan sebelum raya nanti mereka ambil unit atau skali lebih besar dalam mengembangkan perniagaan di sini,’ ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here