Sultan Kedah titah rakyat patuhi arahan PKP, jaga kesihatan

0
125


CYBERJAYA – Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah bersama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff menitahkan rakyat khususnya di Kedah supaya menjaga kesihatan berikutan penularan jangkitan COVID-19, ketika ini.

Baginda juga menasihatkan rakyat memastikan suasana sekeliling mereka terutama persekitaran rumah sentiasa berada dalam keadaan bersih dan terjaga.

Sultan Sallehuddin bertitah, rakyat juga diminta kerap mencuci tangan dan menggunakan cecair pembasmi kuman serta mengamalkan penjarakkan sosial.

“Memasuki hari kesembilan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan, rakayt diseru untuk mematuhi arahan tersebut dan terus berada di rumah sekiranya tidak mempunyai urusan penting atau hal kecemasan yang perlu diselesaikan.

“Diharapkan tiada sebarang aktiviti sosial atau berkumpul di luar rumah dilakukan sepanjang tempoh tersebut bagi memastikan semua berada dalam keadaan selamat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Darul Aman hari ini.

Titah sama turut dizahirkan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin; Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Arif dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Al-Aminul karim Sultan Sallehuddin. 

Baginda bertitah, inilah masanya untuk rakyat menggalas tanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing bagi membendung jangkitan wabak itu.

“Janganlah juga melakukan pembelian panik kerana kerajaan memberi jaminan barangan keperluan mencukupi dan paling penting, jangan menyebarkan berita palsu,” titah baginda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here