Sultan Perak terima peletakan jawatan Ahmad Faizal

0
140

CYBERJAYA – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.


Memetik portal Sinar Harian, Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor berkata, baginda menerima mengadap Ahmad Faizal pada pukul 9.30 pagi tadi bagi menyembahkan warkah peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perak.

Menurutnya, Ahmad Faizal turut menyembah maklum secara rasmi bahawa kerajaan PH kehilangan majoriti mudah untuk meneruskan kerajaan Perak selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada pakatan itu pada 24 Februari lalu.

“Datuk Seri Ahmad Faizal kemudiannya telah menyembahkan warkah memaklumkan Bersatu Perak telah mencapai persepakatan dengan UMNO dan Pas untuk mendapatkan perkenan baginda menubuhkan kerajaan Perak yang baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rahim berkata, pemimpin tiga parti politik itu turut mempersembahkan nama untuk pertimbangan Sultan Nazrin memperkenankan lantikan Menteri Besar Perak yang baharu dan menetapkan tarikh angkat sumpah.

Menurutnya, kesemua mereka berikrar memberikan sokongan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diperkenankan oleh baginda.

Terdahulu, Ahmad Faizal tiba di Istana Kinta pada pukul 9.10 pagi tadi untuk mengadap Sultan Nazrin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here