
KUALA LUMPUR – Sekatan perjalanan dan penutupan sempadan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 telah memberi tekanan besar kepada pengendali penerbangan dengan sebahagiannya mengambil keputusan untuk ‘berehat sementara’ semasa tempoh sukar ini bagi mengurangkan kerugian.
Syarikat penerbangan bergelut untuk mengekalkan operasi mereka dan mengelakkan daripada jatuh bankrap kerana penurunan ketara permintaan perjalanan udara telah membawa kepada kapasiti tempat duduk, hasil dan pendapatan yang rendah.
Ahli ekonomi Dr. Yeah Kim Leng berkata, beberapa syarikat penerbangan terutamanya entiti swasta, mungkin perlu menimbang melakukan penggabungan atau membentuk pakatan strategik seperti perjanjian perkongsian kod dengan syarikat penerbangan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Bekas profesor ekonomi Fakulti Perniagaan Sunway University itu berkata, memandangkan pandemik tersebut tidak menunjukkan sebarang petanda akan surut, sukar bagi ekonomi dunia untuk kembali normal dalam masa setahun sebaik sahaja ia dapat dibendung.
“Pemulihan pantas dalam waktu singkat adalah mustahil kerana impak ekonomi yang teruk akibat daripada kawalan keluar dan masuk, larangan perjalanan dan larangan perhimpunan beramai-ramai. Dan perlu diingat bahawa tidak semua negara boleh pulih pada masa yang sama.
“Justeru, ekonomi global dijangka mengambil masa yang lama untuk kembali normal. Yang terbaik adalah pemulihan beransur-ansur 12 hingga 18 bulan,” katanya dipetik Bernama hari ini.
Terdahulu, hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata syarikat penerbangan, termasuk antara yang terkemuka dalam industri seperti Emirates dan Singapore Airlines berdepan cabaran terbesar bagi mereka disebabkan Covid-19.
Beliau juga berkata, industri penerbangan memerlukan pelan tindakan berasingan walaupun tiada sebarang pengumuman dari segi bantuan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lepas.
Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia menggantung sementara semua penerbangan antarabangsanya bagi operasi di Malaysia, Thailand dan Filipina berikutan pandemik itu.
AirAsia Malaysia juga menggantung sementara semua penerbangan antarabangsa dan domestiknya dari 28 Mac hingga 21 April, 2020.
Syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines juga mengurangkan keseluruhan rangkaiannya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan bagi tempoh dua minggu lagi sehingga 14 April.