Tanpa sebarang simptom juga boleh positif Covid-19

0
596
Doktor Akmal Saleh

CYBERJAYA – Orang ramai digesa lebih berhati-hati kerana terdapat kes pesakit yang positif wabak Covid-19 tidak menunjukkan sebarang simptom utama seperti batuk, demam panas atau sesak nafas.

Seorang doktor perubatan, Doktor Akmal Saleh berkata, berbanding pesakit positif Covid-19 yang menunjukkan pelbagai simpton awal, pesakit yang positif tetapi tidak menunjukkan sebarang simpton lebih berbahaya kerana boleh menyebarkan virus tersebut kepada orang lain tanpa sedar.

“Sesiapa yang positif Covid-19 boleh mempunyai simpton dan tidak bersimptom, yang ada simptom kita tidak risau tetapi yang paling dirisaukan ialah pesakit positif yang tidak menunjukkan sebarang simptom demam, sakit tekak atau pun sesak nafas,” katanya dalam siaran langsung Facebook miliknya hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, orang ramai yang merasakan pernah berhubung rapat dengan pesakit yang telah disahkan Covid-19 perlu menjalani saringan pemeriksaan di klinik kesihatan kerajaan untuk pengesahan selanjutnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perbezaan antara Covid-19, demam biasa dan influenza, katanya, kebiasaannya pesakit yang positif Covid-19 akan mengalami tiga simptom utama iaitu demam panas sehingga mencecah suhu 39 darjah Celcius (C), batuk teruk dan sesak nafas.

“Kalau demam biasa suhunya antara 37 C hingga 37.8 C manakala influenza suhunya sekitar 38 C. Selain itu, jika dijangkiti Covid-19, pesakit itu akan mengalami batuk yang teruk berbanding influenza yang tidak menunjukkan gejala batuk tetapi demam ada tanda batuk cuma tidak seteruk Covid-19.

“Kalau dijangkiti Covid-19, batuk yang dialami pesakit terbabit sangat teruk sehingga mengalami kesukaran untuk bernafas. Jadi, kalau rasa susah hendak bernafas mohon sangat-sangat untuk pergi ke klinik bagi melakukan pemeriksaaan,” katanya.

Sementara itu, katanya, pesakit yang mempunyai pelbagai penyakit lain dan warga emas juga antara individu mudah dijangkiti wabak penyakit itu.

Gejala-gejala Covid-19 yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia

Katanya, sebagai contoh dua kes kematian Covid-19 di Malaysia kelmarin disebabkan mempunyai masalah berkenaan.

“Paling dirisaukan ialah golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan orang yang ada penyakit, pesakit yang meninggal dunia di Johor kelmarin walaupun baru berumur 34 tahun, kematian disebabkan ada masalah pernafasan dari dulu lagi.

Ahli Parlimen Kuching antara pesakit positif Covid-19 yang tidak menunjukkan sebarang simpton

“Jadi kalau di rumah kita memang ada warga emas dan masalah penyakit kronik saya mohon sangat supaya kita lebih berjaga-jaga,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai rawatan yang diberikan kepada pesakit positif Covid-19, katanya, kesemua pesakit berkenaan akan diubati secara simptomatik.

“Sehingga sekarang masih belum ada ubat dan vaksin untuk Covid-19, satu dunia belum ada lagi, kalau ada yang kata jemur tengah panas atau makan makanan itu atau ini, ia tetap masih belum dapat dibuktikan secara klinikal kerana China dan Amerika Syarikat pun masih membuat kajian bagaimana mahu hendak diubati.

“Jadi bagaimana kita rawat pesakit ini? Kita ubati secara simptomatik iaitu kalau demam doktor bagi ubat demam, kalau batuk bagi ubat batuk, kalau susah bernafas bagi oksigen, ‘drip’ dan apa jenis ubat untuk melegakannya,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here