Tempoh perintah kawalan pergerakan mungkin dilanjutkan

0
97

KUALA LUMPUR – Tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan yang berkuatkuasa hari ini mungkin dilanjutkan ke suatu tempoh lebih panjang sekiranya penularan wabak Covid-19 tidak berjaya dikawal.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perintah kawalan yang ditetapkan selama dua minggu itu bertujuan memutuskan rantaian jangkitan virus berkenaan.

“Kenapa tempoh perintah kawalan pergerakan ini selama dua minggu? Ini kerana Covid-19 mempunyai hayat inkubasi (pengeraman) selama dua minggu.

“Kenapa? Kerana kita hendak putuskan rantaian jangkitan itu. kita mahu memutuskan rantaian jangkitan supaya jumlah orang yang dijangkiti wabak Covid-19 ini dapat dikurangkan.

“Jika dalam tempoh ini kita belum berjaya sepenuhnya, kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh perintah kawalan,” katanya dalam perutusan khas malam ini.

Mengulas mengenai perkembangan terkini, Muhyiddin menyifatkan 117 kes jangkitan baharu yang menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 790 bukan perkembangan yang menggembirakan.

“Langkah-langkah tegas perlu terus diambil untuk membendung wabak ini daripada terus merebak.

“Kerajaan berharap selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas dari Covid-19,” katanya.

Oleh itu, kata beliau, adalah penting bagi rakyat untuk mengasingkan diri dan keluarga daripada terdedah kepada virus dengan berada di rumah. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here