Tiada faedah kompaun dikenakan kepada pelanggan

0
168

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Malayan Banking Bhd. (Maybank) mengumumkan tiada sebarang faedah kompaun dikenakan ke atas pelanggannya yang terdiri daripada individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), runcit serta korporat yang layak menerima kemudahan moratorium selama enam bulan seperti ditawarkan awal minggu lalu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Maybank turut menjelaskan pinjaman peribadi, gadai janji, ASB, Pendidikan dan PKS adalah produk tersenarai di bawah moratorium secara automatik bagi pelanggan runcit dan PKS.

Manakala bagi pinjaman sewa beli kadar tetap juga tidak mempunyai faedah kompaun.

“Semua pelanggan runcit dan PKS tidak perlu membuat permohonan moratorium kerana ia akan dilaksanakan secara automatik bagi semua pinjaman dan pembiayaan yang layak.  

“Bagi semua kemudahan pembiayaan Islamik pula, kadar keuntungan sememangnya tidak dikenakan kompaun selaras dengan prinsip syariah,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam akaun rasmi Facebook bank itu hari ini.

Bagaimanapun dalam kenyataan itu turut memaklumkan, bagi pelanggan bukan runcit atau korporat yang layak perlu mengemukakan permohonan untuk menerima kemudahan moratorium melalui pengurus hubungan atau bank korporat.  

“Sekiranya permohonan untuk moratorium diluluskan, maka pelanggan ini juga akan menerima manfaat yang sama iaitu tidak dikenakan sebarang faedah kompaun,” katanya.

Justeru, agensi kewangan itu berharap langkah yang diambil sekurang-kurangnya mampu meringankan bebanan kewangan para pelanggan dalam berhadap situasi negara kini.

“Dalam tempoh masa luar biasa ini, kami percaya semua pelanggan kami sama ada individu atau perniagaan, menghadapi cabaran yang belum pernah terjadi sebelumnya.  

“Pandemik Covid-19 adalah situasi yang amat berat dan kami mengambil peluang ini untuk melakukan perkara yang sebaiknya selaras dengan misi kami untuk memberikan perkhidmatan kewangan.

“Kami komited untuk melegakan tekanan pelanggan kami pada masa-masa yang mencabar ini, dan membenarkan mereka memberi tumpuan kepada perkara yang paling penting, iaitu keluarga dan kesihatan mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here