Oleh SITI AZIELAH WAHI
CYBERJAYA- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melupuskan jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada senarai kabinet sebaliknya beliau menamakan empat Menteri sebagai Menteri Kanan.
Menteri Kanan tersebut adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ; Menteri Pertahanan Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob ; Menteri Kerja Raya Datuk Sri Fadillah Yusof; dan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Muhyiddin berkata pelantikan Menteri-Menteri Kanan ini akan membolehkan isu-isu berbangkit antara kementerian dalam bidang-bidang berkaitan dapat diselaras dengan lebih cekap dan berkesan.
“Ringkasnya, saya ingin membentuk sebuah kabinet yang benar-benar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat – a cabinet that delivers,”katanya.
Tambah beliau, menteri-Menteri Kanan akan membantu saya menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri termasuklah mempengerusikan mesyuarat kabinet di waktu ketiadaan saya dalam negara.
“Dengan adanya Menteri-Menteri Kanan ini, maka tiada keperluan pada masa ini untuk seorang Timbalan Perdana Menteri dilantik,”katanya.