Tiada solat Jumaat hari ini, bantu putuskan rantaian virus Covid-19

0
237

CYBERJAYA – Semua masjid di seluruh negara akan menghentikan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi membantu negara memutuskan rantaian virus Covid-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa mulai semalam hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19, solat Jumaat tidak diadakan hari ini.

“Patuhilah arahan yang dikeluarkan dan gantilah solat Jumaat dengan solat Zuhur di rumah masing-masing bersama keluarga,” katanya dalam khidmat pesanan awam yang disiarkan di stesen-stesen televisyen semalam.

Jelasnya arahan tersebut selari dengan langkah yang diambil di beberapa negara Islam lain, seperti Arab Saudi dan Kuwait.

“Hampir keseluruhan bersetuju dalam kes seperti ini dan semua pihak hendaklah mematuhi perintah yang ditetapkan pemerintah.

“Sekali lagi pesan saya, solatlah Zuhur di rumah, Insya-Allah ada hikmahnya,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengisytiharkan Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara, bagi mengekang penularan Covid-19.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here