Tiada TPM strategi kebijaksanaan PM

0
98

Oleh NINA FARZUIN MD. SHAROM

CYBERJAYA – Ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri seperti mana yang menjadi amalan biasa pada pembentukan kerajaan-kerajaan terdahulu tidak akan mendatangkan sebarang masalah.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya percaya bahawa ia sebagai strategi yang diatur oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengelakkan berlakunya sebarang perbalahan dalam kalangan parti-parti komponen kerajaan.

“Isma mengucapkan tahniah kepada barisan jemaah menteri yang baru sahaja dilantik yang dianggotai oleh wakil dari pelbagai parti termasuk golongan profesional dan ulama’.


“Pasukan yang dianggotai oleh figura-figura dari pelbagai latar belakang yang berpengalaman luas dan profesional ini diyakini akan menjadi satu pasukan yang stabil dan kukuh seterusnya mampu memimpin negara dengan baik.


“Diharapkan agar menteri-menteri yang pernah dikaitkan dengan rekod kurang baik dapat memperbaiki dan membuktikan prestasi yang baik sehingga tamat penggal ini,” katanya menerusi kenyataan dalam hantaran akaun Facebook miliknya hari ini.

Pada masa sama, beliau turut memuji tindakan melantik Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama.

“Ini adalah sesuatu yang baru dan sangat terpuji kerana berani mengangkat seorang ulama’ yang disegani oleh semua pihak serta tidak berpartisan.

“Kita berharap agar Menteri Agama dapat memainkan peranan yang lebih dalam menjaga keharmonian agama dan memberi ruang kepada NGO-NGO untuk terlibat dalam pelbagai perkara termasuk dalam merangka polisi-polisi yang berkaitan.

Selamat bertugas kepada semua yang dilantik dan diharapkan agar tanggungjawab ini dipikul dengan penuh beramanah. Insya-Allah” ujarnya.- MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here