Tiga jemaah tabligh antara 41 kes baharu positif Covid-19 hari ini

0
150
Malaysia mencatatkan 41 kes jangkitan baharu Covid-19

CYBERJAYA – Jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 terus meningkat apabila 41 kes dilaporkan setakat tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 238 kes.

“Kesemua kes baharu yang telah disahkan ini adalah dari kalangan patient under investigation (PUI) iaitu 37 kes dan kontak rapat kes Covid-19 iaitu empat kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, seramai 203 kes masih dirawat di wad dengan lima daripadanya sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, kes-kes itu juga telah diberikan rawatan antiviral.

“Sehingga 14 Mac lalu, sebanyak 1,321 sampel dari pesakit influenza like illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) telah diuji di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), semua makmal kesihatan awam dan hospital.

“Setakat ini tiga sampel positif jangkitan Covid-19. Kesemua kes positif ini berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh,” katanya.

Sementara itu, katanya, dua kes positif Covid-19 sebelum ini telah pulih dan dibenarkan discaj daripada wad Hospital Sungai Buloh.

Katanya, ini menjadikan 35 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here