Tolong jangan buang sarung tangan, penutup mulut sesuka hati

0
366

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Mendidik masyarakat mengamalkan nilai-nilai murni sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan Covid-19 bukanlah mudah.

Malah, terdapat segelintir masyarakat masih berfikiran kolot dengan mementingkan diri tanpa memikirkan bahaya kepada orang lain.

Baru-baru ini terdapat perkongsian dalam Facebook gambar-gambar topeng muka dan sarung tangan dibuang di tempat awam.

Seorang warga maya Facebook, Uthman Daud berpandangan, jika seseorang menggunakan sarung tangan kemudiannya dibuang merata tempat sebenarnya memberi kesan lebih bahaya.

Menurutnya, di hospital terdapat ‘clinical waste’ untuk membuang sarung tangan selepas dipakai supaya tidak menyebabkan penyebaran virus yang melekat pada sarung tangan.

“Virus boleh hidup selama lapan jam pada permukaan plastik dan getah.

“Hendak didik mentaliti dalam tempoh yang pendek bukan satu kerja mudah, jadi daripada buat perkara begini, lebih baik jangan guna sarung tangan tetapi selalulah basuh tangan dengan sabun atau lakukan ‘hand sanitizing’,” tegurnya.

Dalam ruang komen salah satu hantaran menerusi media sosial, Abu Nadh pula menyifatkan rakyat Malaysia mempunyai adab yang teruk.

“Teruknya umat Malaysia ni.

“Dimanalah adab mereka bab kotoran dan bahan buangan. Punca segala penyakit manusia macam inilah sebenarnya,” kongsinya.

Sementara itu, seorang warga maya, Adira Aaira Azzahra memohon rakyat Malaysia memahami situasi yang berlaku mengenai Covid-19.

Katanya, janganlah meneruskan tabiat membuang topeng penutup mulut, sarung tangan malah putung rokok merata-rata tempat.

“Korang tolong faham. Janganlah buang ‘mask’, sarung tangan, putung rokok bersepah-sepah.

“Kami juga pekerja SWM terdedah pada Covid-19… Tolong kami,” katanya.

Sebelum ini perkongsian seorang warga maya Ramu Segar memuat naik sebuah video berpakaian petugas pembersihan memohon masyarakat supaya tidak membuang sampah di tepi jalan terutana kepada penunggang motosikal.

Katanya, apalah salahnya sampah-sampah termasuk topeng penutup mulut, sarung tangan, putung rokok, botol dan tin dibuang ke dalam tong sampah.

“Sebelum tiba di rumah, buang dulu sampah-sampah berkenaan, kemudian cuci tangan dan baharu masuk ke dalam rumah.

“Kami bekerja untuk kamu, tolonglah kami dan faham kami itu sahaja yang kami minta,” rayunya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here