Topeng muka di pasaran habis!

0
238

CYBERJAYA – Bekalan topeng muka dan juga pencuci tangan (hand sanitiser) di beberapa farmasi di sekitar Semenyih, Kajang dan Putrajaya habis dijual.

Tinjauan Malakat Tribune mendapati, keadaan berkenaan mencetuskan kebimbangan dan keresahan orang ramai yang ingin mendapatkan aksesori itu.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari seorang jurujual di sebuah farmasi di Semenyih, permintaan topeng muka dan hand sanitiser sangat tinggi.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Alya berkata, farmasi di tempatnya bekerja kehabisan bekalan barangan berkenaan sejak minggu lalu.

“Sebelum ini, kami ada terima bekalan 30 kotak topeng muka yang setiap kotak mengandungi 50 keping jenis ‘surgical mask’. Tidak sampai seminggu ia habis dijual.

“Memang laris, mungkin kesedaran semakin meningkat membuatkan orang ramai mula memakai topeng muka. Hand sanitiser juga sama, untuk botol kecil habis,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja farmasi di Putrajaya yang mahu dikenali sebagai Ain berkata, majikan memaklumkan bekalan topeng muka akan sampai minggu hadapan.

“Maaf ‘mask’ habis, ramai yang datang cari hari ini tetapi kami tiada bekalan. Mungkin pada minggu hadapan ada,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai topeng muka.

Dalam pada itu, seorang pengguna, Najwa Natasha Abdul Hamid, 28, berkata, dia sudah pergi ke tiga farmasi di sekitar Putrajaya namun, tiada topeng muka.

“Saya sudah pergi tiga buah farmasi, semua cakap habis dan minta datang minggu hadapan jika bekalan sampai. Kita mahu pakai sekarang bukannya minggu hadapan.

“Kalau boleh, pihak bertangungjawab buat sesuatu dalam hal ini. Tambah bekalan kerana permintaan sekarang sangat tinggi. Kita mahu sama-sama mencegah penularan Covid-19,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here