Tujuh kes baharu Covid-19 hari ini

0
112

CYBERJAYA – Sebanyak tujuh kes baharu penularan wabak koronavirus 2019 (Covid-19) dicatatkan hari ini menjadikan keseluruhan 36 kes direkodkan di negara ini.

Daripada 36 kes berkenaan, jumlah kes sembuh adalah 22 kes (61.1 peratus) dan 14 kes masih lagi dirawat di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kesemua kes yang dirawat di wad Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur itu dalam keadaan stabil.

“Maklumat itu dibentangkan Pasukan Petugas Khas Kementerian Kesihatan pada pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabatnya, hari ini.

“Pertemuan itu turut membabitkan perbincangan mengenai status terkini wabak Covid-19 bersama Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd. Zuki Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri M Shahrul Ikram Yaakob; Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Secara keseluruhan Perdana Menteri berpuas hati dengan agensi kerajaan yang telah melaksanakan tugas dengan baik dalam menguruskan penularan Covid-19 dan merakamkan penghargaan kepada semua yang terbabit khususnya kakitangan barisan hadapan dan kakitangan perubatan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Perdana Menteri juga mengarahkan Pasukan Petugas Khas terus memantau status dan usaha pencegahan penularan Covid-19 bagi memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Dalam masa yang sama katanya, Perdana Menteri menasihatkan seluruh rakyat tidak panik dengan melakukan pembelian panik dan sentiasa mengambil langkah penjagaan kesihatan seperti mana yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan.

“Mereka yang berkunjung ke negara berisiko seperti China, Korea Selatan, Jepun dan Itali hendaklah mematuhi nasihat perjalanan dan kesihatan yang dikeluarkan dan segera ke hospital atau klinik sekiranya mempunyai simptom seperti batuk, demam dan sesak nafas,” menurut kenyataan itu.

Sehingga pukul 8 pagi tadi jumlah keseluruhan kes Covid-19 adalah sebanyak 90,306 kes yang membabitkan 70 buah negara dan sebanyak 45,603 (50.5 peratus) kes sembuh dan 3,084 (3.4 peratus kematian dicatatkan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here