Tun M tidak lagi berkuasa dalam Bersatu

0
204

KUALA LUMPUR – Tindakan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya dibidas kerana didakwa mengelirukan orang ramai.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Mohd. Yusof berkata, tindakan Marzuki yang mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad masih ‘berkuasa’ dalam parti tidak boleh diterima.

Mohd. Redzuan berkata, tindakan Dr. Mahathir yang meletak jawatan sebagai pengerusi parti baru-baru ini menjadikan bekas perdana menteri itu bukan lagi ‘berkuasa’ seperti dahulu.

“Ini kerana sekiranya mahu dilantik semula menjadi pengerusi, cadangan itu perlu diluluskan oleh Mesyuarat Agong Bersatu mengikut peraturan parti,” katanya kepada pemberita di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini pagi ini.

Menurut Mohd. Redzuan, buat masa ini, Muhyiddin sebagai presiden dan beliau paling layak memangku jawatan pengerusi parti.

“Apa yang setiausaha agung buat hari ini melanggar peraturan dan saya nasihat supaya dia berhenti buat kenyataan mengelirukan ahli dan rakyat,” ujarnya lagi.

Beliau juga mencadangkan supaya Marzuki dipecat dari parti dan pucuk pimpinan perlu melantik penggantinya segera supaya ia dapat meredakan keadaan.

“Saya juga yakin, majoriti ahli parti masih bersama Muhyiddin. Apa yang penting, pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteru akan mematikan segala krisis politik yang melanda negara dan waktu yang tepat bagi merapatkan saf kepimpinan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here