UMT bantu penuntut di kampus

0
124
UMT memperuntukkan RM70,000 kepada penuntutnya yang kekal di kampus

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) memperuntukkan sebanyak RM70,000 untuk membantu penuntut yang kekal di kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dam Alumni) UMT Prof Madya Dr Hafiz Zakariya berkata, permohonan untuk mendapatkan bantuan itu perlu dibuat penuntut melalui aplikasi atas talian MyEhsan.

“Pihak pengurusan UMT juga prihatin akan kesulitan penuntut yang mengeluarkan wang untuk pembelian tiket perjalanan pulang ke kediaman masing-masing tetapi tidak mendapat kelulusan oleh pihak universiti untuk pulang.

“Oleh yang demikian, UMT bersetuju untuk membayar semula wang dibelanjakan oleh penuntut untuk pembelian tiket perjalanan pulang ke kediaman itu,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, lima kafeteria di kolej kediaman dibuka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi memastikan penuntut mendapat bekalan makanan yang mencukupi.

“Perkhidmatan penghantaran makanan juga dibenarkan bagi mengelakkan penuntut keluar kampus secara berkumpulan.

“Selain itu, kumpulan Act of Kindness (AOK) akan memainkan peranan mengagihkan barangan keperluan secara percuma bagi membantu penuntut yang memerlukan.

“Bilik Gerakan Covid-19 disediakan sebagai pusat rujukan bagi mendapatkan info perkembangan terkini berkaitan inisiatif dan pelan tindakan sekiranya memerlukan bantuan sepanjang tempoh arahan pihak kerajaan,” katanya.

Menurutnya, dia berharap semua penuntut mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa serta mengambil langkah pencegahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“UMT memandang serius dan menitikberatkan kebajikan semua penuntut dalam usaha memastikan penuntutnya sentiasa berada dalam keadaan baik serta terkawal ekoran penularan wabak Covid-19,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here