Unimas sediakan RM1 juta tangani Covid-19

0
99

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menyediakan RM1 juta untuk kesiapsiagaan menangani wabak Covid-19.

Ini termasuklah mengukuhkan kualiti prasarana teknologi maklumat sedia ada bagi menyokong aktiviti pembelajaran dalam talian secara total, pembelian bahan inisiatif pencegahan, kemudahan kuarantin dan keperluan sokongan teknikal.

Menurut Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi satu jawatankuasa khusus yang dipengerusikan oleh Naib Canselor telah dibentuk bagi memantau, merancang strategi dan menyediakan panduan untuk warga kampus dari semasa ke semasa.

Tambah beliau, jawatankuasa itu bermesyuarat setiap minggu dan atas dasar keperluan untuk menyelaras inisiatif universiti menangani Covid-19.

Beliau berkata, Unimas turut prihatin dan mengambil langkah berjaga-jaga dan tindakan pencegahan wabak ini dalam kampus.

“Dalam situasi ini, Unimas memantau sepenuhnya jika terdapat risiko jangkitan dalam kalangan warga kampsu dan akan bertindak segera bagi mengelakkan keadaan lebih serius,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelas beliau lagi, pihak universiti telah mengambil beberapa langkah untuk mencegah wabak ini di kampus sejak Januari lalu dan sentiasa merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa.

“Unimas komited untuk membendung penularan wabak ini di kampus,” tegasnya. -MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here