UniSZA sedia kemudahan digital untuk manuskrip Islam dan Melayu

0
240
Universiti Sultan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu.

KUALA LUMPUR – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi universiti pertama di Malaysia mewujudkan kemudahan manuskrip digital untuk manuskrip Islam dan Melayu.

Ini direalisasikan selepas universiti itu memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan TM One, cabang penyelesaian perniagaan sektor awam dan perusahaan Telekom Malaysia Bhd (TM), untuk memulakan sistem manuskrip digital dan inisiatif penyimpanan atas permintaan untuk perpustakaan UniSZA melalui penyelesaian TM One Cloud dan Data Centre.

Menurut kenyataan bersama, kerjasama itu termasuklah TM One menempatkan Twin Core Data Centre untuk menyimpan 35,000 manuskrip digital, boleh diakses di perpustakaan UniSZA untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan.

Katanya manuskrip digital ini, yang mengandungi dokumen lama, nota dan peta boleh didapati secara dalam talian.

“TM One juga akan membangunkan penyelesaian sistem akses dan pengurusan yang disesuaikan untuk manuskrip digital UniSZA dan menjalankan inisiatif penyelidikan dan inovasi bersama,” katanya dipetik Bernama.

Katanya kemudahan manuskrip digital adalah sebahagian daripada perjalanan transformasi digital UniSZA dalam menyediakan ekosistem digital untuk pendekatan pendidikan dan inovatif ke arah menyimpan dalam arkib, mengakses dan menggunakan data untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata pusat data dibina dan direka untuk memenuhi permintaan bagi penyimpanan tempatan dan keperluan kepada teknologi awan daripada pelanggan seperti UniSZA.

“Kami berupaya sepenuhnya untuk memudahkan inisiatif dalam memelihara fail bernilai ini berikutan pusat data teras berkembar kami dapat menyokong keperluan ruang penyimpanan yang besar.

“Selain itu, keupayaan kami untuk menyimpan data di platform awan-agnostik bermakna penyelesaian awan yang komprehensif dan inovatif TM One akan terus menyokong usaha UniSZA dalam memastikan akses kepada manuskrip digital ini mudah dan memenuhi permintaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here