Untung keluarga Makcik Kiah terima manfaat RM8,664

0
139

CYBERJAYA- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi penjelasan mudah kepada rakyat Malaysia terhadap semua bantuan yang diumumkan hari ini.

Mengambil contoh nama sinonim masyarakat Malaysia ‘Makcik Kiah’, Perdana Menteri memperincikan segala bantuan yang akan diterima oleh rakyat negara ini.

Perdana Menteri berkata, daripada semua bantuan yang diumumkan kerajaan hari ini ini, beliau mahu memberi satu contoh mudah supaya rakyat Malaysia senang mem,buat perkiraan.

Sebagai contoh katanya, Makcik Kiah penjual goreng pisang yang duduk di PPR Desa Tun Razak dan suaminya adalah pesara kerajaan dan sekarang ini bawa Grab.

Anak Makcik Kiah pula katanya, adalah peminjam PTPTN manakala pendapatan isi rumah Makcik Kiah di bawah RM4000 sebulan.

“Dengar baik-baik. Saya nak bantu buat pengiraan berapa keluarga Makcik Kiah akan dapat. Keluarga Makcik Kiah akan dapat Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1,600, baki BSH sebanyak RM600, bantuan pesara sebanyak RM500, bantuan tunai e-hailing sebanyak RM500 dan bantuan orang bujang sebanyak RM800.

“Kalau suami Makcik Kiah berkhidmat dengan RELA, dia akan dapat RM200 sebulan sehingga wabak berakhir. Keseluruhan pemberian tunai yang keluarga Makcik Kiah akan dapat ialah sekurang-kurangnya RM4200,” katanya dalam Perutusan Khas Pakej Rangsangan Ekonomi hari ini.

Selain itu katanya, keluarga Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan sewa PPR selama enam bulan sebanyak RM744, penjimatan penangguhan pinjaman kenderaan selama enam bulan sebanyak RM1,800 dan penjimatan bayaran bil elektrik selama enam bulan sebanyak RM120.

“Anak Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan daripada penangguhan bayaran balik PTPTN selama enam bulan sebanyak RM1,200.

“Kalau Makcik Kiah ada buat pinjaman kredit mikro untuk perniagaan goreng pisang dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan, Makcik Kiah akan dapat penjimatan sebanyak RM600. Keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464.

Jadi katanya, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Makcik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM8,664.

“Jadi Makcik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit dengar kiraan yang saya buat,”katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here