Usah berlebihan hina jemaah tabligh, mereka juga mangsa keadaan

0
276

SEJAK minggu lalu nama jemaah tabligh terus menjadi sebutan jutaan rakyat Malaysian. Nama tabligh yang sebelum ini sinonim dengan satu kumpulan dakwah berjubah, berserban dan berjanggut bertukar 360 darjah menjadi satu kumpulan yang sangat digeruni gara-gara satu virus bernama Covid-19.

Semuanya bermula apabila terdapat jemaah daripada kumpulan dakwah itu dikesan membawa wabak penyakit Covid-19 dan secara tanpa sedar telah menyebarkan virus berkenaan kepada jemaah lain ketika menghadiri satu perhimpunan di markaz tabligh di Masjid Sri Petaling pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Pada mulanya tiada siapa pun menjangkakan perhimpunan itu akan mendatangkan masalah di kemudian hari sehinggalah kerajaan Brunei mengesahkan seorang rakyatnya positif Covid-19 pada 11 Mac lalu sekali gus menjadi kes pertama di negara tersebut.

Umpama satu sumpahan yang menakutkan, sejak dari tarikh itu seorang demi seorang jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan tersebut disahkan positif Covid-19. Lebih membimbangkan apabila jemaah ini mempunyai kontak atau hubungan dengan orang lain terutamanya ahli keluarga, jiran dan jemaah masjid.

Menyedari bahaya yang lebih besar bakal menanti jika situasi ini tidak dibendung dengan lebih awal, kerajaan telah merayu kepada mereka yang menghadiri perhimpunan ini untuk tampil secara sukarela bagi menjalani ujian saringan Covid-19.

Seperti yang dijangka, wabak penyakit ini yang pada mulanya dianggap remeh dan tidak membahayakan rakyat Malaysia bertukar sebaliknya apabila dalam tempoh sehari sahaja dua kematian pertama dicatatkan melibatkan seorang paderi di Sarawak dan seorang jemaah tabligh dari Kelantan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan bagi membendung Covid-19

Bimbang situasi bertambah buruk apabila negara mencatatkan 553 jumlah keseluruhan positif Covid-19, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa berlengah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak ini.

Sehingga ke hari ini 16 kematian telah dicatatkan dan kebanyakan kes ini mempunyai kaitan secara langsung dan tidak langsung dengan kluster himpunan tabligh, kecuali beberapa kes melibatkan kluster lain.

Tanpa dibendung lagi kemarahan orang ramai mula terarah kepada kumpulan ini yang didakwa menjadi punca gelombang kedua jangkitan Covid-19 di negara ini.

Jemaah tabligh terus dilabel dengan pelbagai gelaran seperti degil, keras kepala, tidak patuh arahan kerajaan dan punca segala-galanya tanpa ramai yang mahu mengakui hakikat mereka juga merupakan mangsa keadaan.

Ketika berlangsungnya perhimpunan tabligh itu, pada tarikh sama turut berlangsung perlawanan bola sepak antara pasukan bola sepak Kedah menentang Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim. Pada tarikh 8 Mac pula berlangsungnya perhimpunan penganut agama Hindu di Pulau Pinang.

Kedua-dua ‘perhimpunan’ berskala besar dan lebih besar daripada perhimpunan tabligh tidak menyebabkan berlakunya kes jangkitan Covid-19. Itulah namanya sudah suratan takdir dan ketentuan daripada Ilahi.

Selepas seorang demi seorang jemaah tabligh dan yang mempunyai kontak dengan mereka meninggal dunia akibat Covid-19, secara tidak semena-mena keluar berita mengenai kebaikan dan jasa yang pernah mereka taburkan kepada masyarakat setempat khususnya umat Islam.

Berdasarkan satu status yang dikongsi oleh bekas pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Yusoff, pemergian tiga sekeluarga dalam waktu singkat akibat Covid-19 bukan sahaja sangat menyentuh hati malah satu kehilangan kepada masyarakat setempat. Salah seorang mangsa yang meninggal yang juga ibu kepada dua lagi mangsa yang terkorban merupakan guru al-Quran yang telah banyak menyumbang ilmu ke jalan Allah.

Menurut rakan penulis itu, mangsa yang juga kes ke-10 korban Covid-19 merupakan salah seorang ahli jemaah tabligh yang baik dan banyak berdakwah ke jalan Allah.

Tangkap layar daripada status Kamarul Yusoff

Selain itu, seorang ahli jemaah surau di kawasan perumahan penulis juga sempat memuji keperibadian salah seorang jemaah tabligh yang meninggal dunia akibat asbab yang sama dengan tiga sekeluarga ini.

Malah, katanya, dia dan arwah juga pernah bersama-sama berdakwah dengan jemaah tabligh lain dengan berjalan kaki selama 40 hari di Sarawak.

Inilah kelebihan jemaah tabligh yang tidak gentar atau gerun untuk berdakwah ke mana-mana. Walaupun ada yang menutup pintu atau sengaja tidak menjawab salam diberikan, itu bukan penghalang untuk mereka meneruskan kerja-kerja dakwah.

Akhir kalam memetik kata-kata Kamarul dalam status sama dalam Facebook miliknya: “Mereka dan mangsa-mangsa Covid-19 lain adalah orang baik-baik belaka, hindarkanlah diri daripada membuat tohmahan terhadap mereka dan doakanlah semoga roh mereka ditempatkan di kalangan para solihin,” katanya.

Amin…

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here