Ustaz Ebit beli barang satu lori di Malakat Mall

0
5236
Ustaz Ebit bersama pekerja di Malakat Mall memasukkan barang ke dalam lori 10 tan

CYBERJAYA – Biarpun dikecam segelintir pihak yang tidak senang duduk melihat usaha ustaz Ebit Lew menyumbang barangan keperluan kepada mereka yang memerlukan, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat pendakwah terkenal itu terus melakukan kerja kebajikan.

Menerusi hantaran terbaharu dalam laman Facebook miliknya, ustaz Ebit bersama beberapa anak muda yang membantunya telah memborong barangan keperluan harian tersebut dengan lori 10 tan.

Beliau berkata, barangan tersebut diperoleh dari pasar raya, Raudhah Grocer di Malakat Mall dan ST Rosyam Mart.

“Tadi saya membeli dekat Malakat Mall, Cyberjaya dan juga di St Rosyam Mart. Kagum pada mereka peniaga Islam yang hebat. Terima kasih atas layanan baik Datuk Rosyam Noor dan Datuk Nadzim Johan (Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia) dan Tuan Fadzil (Pengasas Malakat Mall).

Semalam, tular dalam media sosial mengenai beberapa pihak terutamanya golongan agamawan yang turut mengkritik kerja kebajikan yang dilakukan ustaz Ebit kerana kononnya tidak ikhlas apabila setiap barangan sumbangan diberikan dirakam dan disiarkan dalam laman sosial miliknya.

Walaupun PKP dan Covid-19 melanda negara kerja kebajikan dibuat ustaz Ebit tetap diteruskan

“Paling penting ramai staf tolong angkat. Saya tiada staf. Ada beberapa anak muda membantu. Saya borong dengan lori 10 tan, penuh lori,” katanya.

Namun begitu, ustaz Ebit yang terkenal dalam usaha dakwahnya dengan mendekati semua golongan dan lapisan masyarakat tidak berkecil hati dan meminta maaf jika ada pihak yang kurang senang dengan kerja amal dibuatnya.

Dalam pada itu, ustaz Ebit berkata, bagi memudahkan proses penghantaran barangan tersebut kepada golongan memerlukan, perkhidmatan Grab dan penghantar barangan akan digunakan.

Bungkusan makanan yang dibeli di Raudhah Grocer, Malakat Mall

Sementara itu, dalam rakaman yang disiarkan oleh akaun Facebook Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim mengucapkan terima kasih kepada ustaz Ebit yang turut sama membantu menyediakan barangan keperluan kepada golongan memerlukan.

Mohd.Fadzil berkata, sejak kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak Malakat Mall menerusi
Yayasan Brainy Bunch telah melancarkan Program Zero Hunger untuk membantu keluarga B40.

“Tadi saya dapat panggilan daripada Datuk Nadzim yang ustaz Ebit hendak beli barang satu lori, mungkin sudah rezeki ustaz sebab sebelum ini kita memang sudah buat program untuk keluarga B40.

“Jadi kita tiada masalah kerana kita ada ribuan barangan yang sudah siap dibungkus,” katanya.

Sementara itu, Fadzil berkata, beliau juga berterima kasih kepada ustaz Ebit yang sudi membantu untuk mengagihkan makanan kepada golongan B40 yang berada dalam senarai Program Zero Hunger.

Coach Fadzil berbual bersama ustaz Ebit

“Dekat kita ada lebih 30,000 senarai mereka yang memerlukan bantuan, dan tadi ustaz Ebit ada meminta senarai tersebut untuk beliau bantu di bahagian Kuala Lumpur.

“Jadi, saya minta semua doakan kamu supaya dapat melakukan kerja dakwah berserta dengan amal, dan bukannya hanya cakap sahaja suruh orang bersedekah tapi bila tiba masa sedekah kita culas,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here