Van jenazah percuma di restoran 24 jam

0
209

Oleh NINA FARZUIN MD. SHAROM

CYBERJAYA – Selepas mewujudkan perkhidmatan van jenazah secara percuma, aktivis sosial, Uncle Kentang terus memudahkan urusan orang ramai dengan menyediakan perkhidmatan itu secara 24 jam.

Uncle Kentang atau Kuan Chee Heng menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook milknya berkata, perkhidmatan itu disediakan di sebuah restoran 24 jam yang terletak di Taman Puchong Utama, Puchong dekat sini.

“Kunci van jenazah ada sedia digantung 24 jam di kedai mamak Sultan, Jalan PU 7/4, Taman Puchong Utama, tak payah cari merata.

“Minyak penuh. Ambil buku tulis nama dan nombor telefon, kedai mamak akan beri kunci. Pemudahkan, minyak van sentiasa penuh,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurutnya, inisiatif itu dilakukan adalah hasil daripada sedekah daripada orang ramai untuk mempermudahkan urusan jenazah.

“Ia sedekah daripada orang ramai. Ia bukan van saya. Kita permudahkan bukan menyukarkan untuk dapatkan van.

“Tuhan jadikan kedai mamak 24 jam, jadi kita guna pakai kedai mamak itu untuk permudahkan urusan orang mati. Tak payah ketuk pintu sana sini cari kunci van,” katanya.

Bagaimana pun, Uncle Kentang turut mengharapkan kejujuran orang ramai dan berharap inisiatif itu tidak disalah guna mana-mana pihak.

“Lepas ambil van, mesej saya 018-2683999. Kalau masa nak balik duit minyak tak ada, beritahu saya, saya akan masukkan wang.

“Tetapi jangan tipu sudahlah, mesti ada jenazah dan permit kubur,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here