Warga maya puji langkah tangguh bayaran pinjaman

0
65

CYBERJAYA- Pengumuman tiga langkah penangguhan membabitkan institusi kewangan disambut baik oleh warga yang menzahirkan penghargaan kepada kerajaan.

Tinjauan Malakat Tribune dalam kalangan warga maya mendapati, rata-rata mereka menganggap langkah berkenaan wajar diambil bagi membantu lapisan masyarakat yang terjejas.

Mereka meninggalkan komen di pautan pelbagai portal berita dengan menyokong tindakan kerajaan melalui saranan Bank Negara Malaysia (BNM) itu.

Seorang warga maya, Amiruddin Samsuddin berkata, langkah berkenaan merupakan yang terbaik kerana membolehkan orang ramai merancang kewangan ketika saat genting ketika ini.

Abdul Wahid Badarudin pula berkata, penstrukturan semula pinjaman dapat membolehkan wang berkenaan digunakan untuk kegunaan lain seperti membantu ahli keluarga yang terjejas.

Selain itu, Dasli Azie pula berkata, langkah yang diambil BNM dan kerajaan itu amat baik dan dalam masa sama turut meminta kerajaan memantau agar semua bank mematuhinya.

Sementara itu, Dahlia Draman berkata, penanguhan enam bulan itu dapat memberi sedikit ruang untuknya ‘bernafas’ dan menguruskan kewangan kerana dia bekerja sendiri.

“Sekarang tidak bekerja, tiada gaji. Jadi penangguhan ini beri sedikit kelegaan. Ya, memang kena bayar balik, tetapi apabila dapat tangguh ia juga satu kelegaan,” katanya.

Bagaimanapun, ada juga segelintir warga maya ingin penjelasan lanjut mengenai langkah yang diambil kerajaan itu kerana bagi mereka apa yang dimaklujmkan itu masih kurang jelas.

Misalnya, Zulhairy Ujang meminta penjelasan bagaimana nasib rakyat yang tersenarai dibawah program Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Adakah dapat pengecualian pembayaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sekarang atau sama selama enam bulan seperti yang dimumkan kerajaan,” soalnya.

Dalam pada itu, George Bastille pula mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana kaedah itu memanfaatkan ramai pihak itu namun, baginya masih ramai yang menunggu bantuan lain.

“Rakyat masih menunggu bantuan kewangan Bantuan Sara Hidup (BSH), ramai daripada kami tiada kerja buat masa ini. Amat sukar untuk uruskan hal isi rumah,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here