1.5 juta permohonan i-Lestari KWSP diluluskan

0
241

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Sebanyak 1.5 juta permohonan i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diluluskan, melibatkan pengeluaran sebanyak RM702 juta bagi bulan Mei tahun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, melalui permohonan tersebut yang dianggarkan berjumlah RM40 bilion, pencarum KWSP boleh memilih untuk mengeluarkan RM500 sebulan selama 12 bulan daripada akaun dua KWSP mereka bagi meringankan beban yang dihadapi.

Menurutnya, bagi langkah i-Lestari di bawah KWSP, sehingga 17 April, 2.8 juta permohonan telah diterima dan hampir 1.5 juta permohonan telah pun diluluskan setakat ini (iaitu tambahan lebih 300,000 permohonan dari minggu lalu).

“Di bawah KWSP juga, caruman bulanan pekerja telah dikurangkan daripada 11 peratus kepada 7 tujuh peratus.

“Namun, pekerja diberi pilihan untuk mengekalkan kadar carumannya dan sehingga 17 April, 600,000 atau lapan peratus pekerja memilih untuk tidak mengurangkan
caruman mereka,” katanya dalam perkongsian laporan kedua Pencapaian Prihatin di laman Facebooknya hari ini.

Zafrul berkata, permohonan tersebut diharap dapat meringankan beban mereka semasa negara menghadapi kesulitan ekonomi disebabkan wabak Covid-19.

Jelasnya, bagi pekerja yang meneruskan
pengurangan caruman, ia dijangka akan menambah sebanyak RM1.1 bilion pendapatan boleh guna (atau disposable income) kepada mereka pada bulan April ini.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here