100,000 orang mohon Gerak Malaysia rentas negeri

0
184

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima kira-kira 100,000 orang telah mendaftar dengan aplikasi mudah alih Gerak Malaysia dalam tempoh 12 jam lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata,  jumlah itu memohon mendapatkan permit pergerakan bagi melakukan perjalanan rentas negeri kerana terkandas di kampung dan tidak sempat pulang ke rumah berikutan pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut beliau, polis menjangkakan angka tersebut akan meningkat berkali ganda menjelang 1 Mei ini.

“Amat perlu bagi PDRM memastikan bahawa setiap permohonan diterima adalah untuk tujuan yang dibenarkan sahaja.

“Supaya perancangan pergerakan antara negeri dapat berjalan dengan lancar dan tidak menyulitkan pengguna-pengguna lebuh raya atau jalan raya yang terbabit,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Huzir menambah, dalam tempoh yang ditetapkan itu, PDRM akan memantau dan menilai trend permohonan yang diterima melalui aplikasi dalam talian Gerak Malaysia.

Kata beliau, hasilnya akan dibawa kepada kerajaan supaya tarikh pergerakan sepertimana yang diumumkan semalam dapat dikaji semula dan diselaraskan mengikut jumlah permohonan diterima.

“PDRM mengulangi nasihat supaya masyarakat dapat memberikan kerjasama dengan hanya memohon untuk mendapatkan permit pergerakan rentas negeri atas sebab sahih seperti ditetapkan.

“Kerjasama semua pihak adalah amat penting bagi memastikan sistem aplikasi dalam talian Gerak Malaysia dapat dimanfaatkan oleh mereka yang benar-benar perlu untuk melakukan pergerakan antara negeri,” ujarnya.

Beliau berkata, perkembangan lanjut mengenai jadual pergerakan antara negeri akan diumumkan kelak. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here