2,317 individu selesai jalani tempoh kuarantin

0
42
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Seramai 2,317 individu yang pulang ke tanah air telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, meraka dibenarkan pulang sejak 18 April selepas mendapati tiada tanda Covid-19.

“Semalam juga seramai 1,137 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikenakan kuarantin wajib.

“Jumlah itu membawa kepada 14,937 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April lalu,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Ismail Sabri berkata, setakat hari ini, sebanyak 193 pusat kuarantin telah beroperasi berbanding 191 pada hari sebelumnya, yang mana 16,844 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu telah melakukan 3,040 operasi sanitasi di 107 zon termasuk di 30 zon merah.

Katanya, sebanyak 250 operasi sanitasi meliputi 78 zon di 14 negeri, termasuk 44 kawasan di Johor dan 27 kawasan di Terengganu yang dijalankan semalam.

Menurutnya, operasi sanitasi semalam merangkumi 159 bangunan Kerajaan, 111 tempat awam, 133 pusat perniagaan dan sembilan pasar raya.

“Kerajaan tiada halangan untuk syarikat swasta menawarkan perkhidmatan sanitasi bagi bangunan dan premis persendirian.

“Syarikat swasta yang menawarkan perkhidmatan sanitasi ini perlu mengikut nasihat dan peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here