34 PSC dibuka bagi urusan duti setem

0
123

CYBERJAYA – Sebanyak 34 Pejabat Setem Cawangan (PSC) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) akan membuka kaunter duti setem bagi melancarkan urusan pihak yang memerlukan khidmat berkaitan bermula esok.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, agensi itu memaklumkan, kaunter tersebut akan dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

Kata kenyatan itu, keutamaan diberikan kepada urusan duti setem melibatkan individu dan orang awam yang tiada ID pengguna STAMPS serta pembayaran duti setem ke atas notis taksiran yang tidak boleh dibuat secara dalam talian.

“Namun, kaunter duti setem di Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan UTC Johor kekal ditutup sehingga tempoh PKP tamat,” kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, kaunter tersebut bagi Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak dibuka pada Isnin hingga Jumaat.

Tambah kenyataan tersebut, untuk Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor pula dari Ahad hingga Khamis.

“Bilangan dokumen dihadkan kepada tiga dokumen sahaja pada satu-satu masa. 

“Pembayar duti atau pembawa dokumen dikehendaki mematuhi setiap peraturan PKP dan penjarakan sosial ketika hadir ke pejabat LHDNM untuk berurusan di kaunter duti setem,” ujar kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, hanya lima hingga 10 pembayar duti atau pembawa dokumen dibenarkan masuk ke kawasan kaunter dalam satu-satu masa bergantung kepada keluasan ruang kaunter PSC.

“Pihak selain daripada individu dan orang awam boleh membuat penyeteman dalam talian melalui STAMPS di https://stamps.hasil.gov.my

“Ejen atau wakil yang mempunyai ID STAMPS diwajibkan untuk mengemukakan permohonan penyeteman dan pembayaran secara dalam talian melalui STAMPS,” kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, pembayar duti, syarikat dan agensi yang tiada keperluan mendesak untuk urusan duti setem diminta menangguhkan urusan sehingga tempoh PKP tamat. 

“LHDNM telah memberikan lanjutan masa sehingga 30 April ini ke atas semua permohonan taksiran dan bayaran duti setem termasuk duti kompaun yang sepatutnya disetemkan atau dibayar pada 18 Mac hingga 29 April tanpa dikenakan penalti,” kata kenyataan itu. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here