4 sub kluster himpunan di Masjid Seri Petaling

0
306

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Sebanyak empat sub kluster jangkitan Covid-19 telah dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berkaitan himpunan di Masjid Seri Petaling.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sub kluster itu dikenal pasti di beberapa buah madrasah dan tahfiz hasil saringan ke atas individu yang mempunyai kontak rapat dengan kes-kes indeks perhimpunan di Seri Petaling.

“Hasil kerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Syura Jemaah Tabligh Masjid Seri Petaling, KKM telah mengenal pasti senarai terkini madrasah dan tahfiz bagi membantu pengesanan kontak rapat kepada kes indeks perhimpunan di Seri Petaling.

” KKM telah mempergiatkan aktiviti pengesanan, penyaringan, ujian, isolasi serta rawatan terutama kepada kumpulan sasar yang berisiko tinggi dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan,” katanya.

Madrasah-madrasah terlibat termasuk di Jerantut, Pahang; Penanti, Pulau Pinang; Sungai Lui; dan Jason, Melaka.

Menurut Dr. Noor Hisham, sejumlah 401 individu telah disaring di Madrasah Jerantut melibatkan 297 pelajar dan baki 104 kakitangan dan ahli keluarga mereka.

“Sebanyak 62 individu didapati positif dan telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, 20 kes telah dibenarkan discaj, “katanya.

Katanya, di madrasah Penanti, Pulau Pinang pula sebanyak enam kes didapati positif Covid-19 selepas 291 individu disaring melibatkan 256 pelajar dan 35 orang kakitangan yang mana dua kes masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah.

Dalam pada itu kata beliau, seramai 282 individu telah disaring di madrasah di Sungai Lui, Selangor membabitkan 274 pelajar dan lapan kakitangan di mana 90 kes positif dimasukkan ke hospital dan 67 daripadanya telah discaj.

“Sementara itu bagi sub kluster madrasah di Jasin, Melaka, seramai 137 telah disaring melibatkan 122 pelajar dan 15 kakitangan yang mana 37 daripadanya positif Covid-19 dan dimasukkan ke hospital Melaka,” ujarnya.

Dr. Noor Hisham menambah, kesemua kes yang positif telah diasingkan dan diberi rawatan.

“KKM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi mengenalpasti dan menguji semua kontak rapat di kalangan
kumpulan yang berisiko tinggi,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak mempersalahkan atau mendiskriminasi mana-mana pesakit atau kumpulan yang dikaitkan dengan kluster jangkitan Covid-19.

“Jangan kita stigmakan mereka. Apa yang penting, adalah kita membantu mengesan dan merawat jangkitan Covid-19 di kalangan mereka yang terlibat, keluarga dan kontak mereka.

“Beri kerjasama kepada agensi-agensi yang terlibat dalam memenangi kejadian Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Katanya, tempoh dua minggu akan datang ini adalah amat penting di mana kerjasama semua pihak bagi memastikan rantaian jangkitan penyakit pendamik ini dapat diputuskan.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here