53.4 peratus pesakit Covid-19 sembuh

0
68

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Memasuki hari kedua fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebanyak 53.4 peratus kes positif jangkitan wabak Covid-19 telah pulih sepenuhnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga 12 tengah hari tadi terdapat 119 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 2,766 kes,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Pada masa sama Dr. Noor Hisham berkata, terdapat 110 kes baharu dilaporkan yang menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,182 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid -19 adalah 2,332 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Menurut Dr. Noor Hisham, sehingga kini, seramai 56 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 29 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Berdasarkan maklumat dari Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan penyakit tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 adalah sebanyak 84 kes,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kes kematian ke-84 (kes ke-4,711) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung dan darah tinggi.

“Pesakit itu telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 9 April dan disahkan meninggal dunia semalam pukul 12.55 tengah hari,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here