551 pusat kuarantin tampung 40,000 orang

0
65

CYBERJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah pusat kuarantin di seluruh negara adalah 551 pusat yang mampu menampung seramai 40,000 orang bagi mereka yang disyaki dijangkiti Covid-19.

Menurut beliau, daripada jumlah itu sebanyak 107 stesen telah beroperasi bagi menempatkan individu termasuk mereka yang baru pulang dari luar negara dihantar ke pusat kuarantin tersebut.

“Saya ingin menjelaskan bahawa bukan 90 pusat kuarantin seperti dilaporkan sebelum ini yang mampu menampung 40,000 orang.

“Kita telah mewartakan sebanyak 551 pusat berkenaan yang boleh menampung jumlah seperti disebutkan tadi,” katanya dalam sidang akhbar harian di Putrajaya hari ini.

Mengenai sanitasi awam, Ismail Sabri memberitahu, sebanyak 87 kawasan melibatkan 11 negeri telah melakukan proses nyah cemar yang dilaksanakan oleh agensi terlibat.

Beliau berkata, ia termasuk 41 lokasi di Johor dan 13 lokasi di Kuala Lumpur dengan memberi tumpuan di kawasan merah.

“Selain itu proses nyah cemar juga turut dibuat di rumah-rumah ibadat, pasar raya dan kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Bagi PPR pula kita telah melakukan proses nyah cemar melibatkan 32,268 unit rumah tersebut,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here