6 bulan warga emas tidur di medan selera, Ebit Lew terkejut pakcik itu hidapi penyakit jantung

0
331

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Seorang warga emas yang didakwa sudah enam bulan menumpang tidur di sebuah medan selera mendapat perhatian pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew.

Menerusi perkongsiannya dalam akaun rasmi Facebook milik beliau, Ustaz Ebit berkata, kisah warga emas itu telah dikongsikan oleh seorang individu yang mahu beliau menghulurkan bantuan.

“Terus saya bergegas ke sana bersama ‘team’ (pasukan). Sekali jumpa pakcik ini seorang diri umur dah dekat 80 tahun. Kakinya bengkak teruk tak boleh bergerak. Baju ada sehelai jer.

“Terus saya ambil baju dan sedikit pakaian saya untuk diberikan.

“Setelah berbual kami mengikut kata pakcik tu kami ke rumahnya dan juga cari tempat kerja anak-anaknya tapi semuanya tak dapat dikesan.

“Saya rasa pakcik tu ada masalah ingatan agaknya . Kad pengenalan tiada tapi masih ingat nama dan nombor kad pengenalan semua. Tapi memang orang KL (Kuala Lumpur) rasanya,” kongsinya.

Beliau berkata, warga emas itu turut dibawa ke klinik Desa Pandan bagi mendapatkan rawatan.

“Syukur semua doktor dan juru rawat membantu. Rupanya pakcik ni ada masalah jantung dan lain-lain. Pernafasan dah teruk kena pakai oksigen, dengan pinggang dan kaki dah sakit tak boleh bergerak.

“Beliau tak mengadu sakit pun. Rupanya dah teruk kesihatannya, Allahuakbar. Ramainya orang begini, susah tapi sembunyikan sakit dan susah ditanggung,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memohon kepada orang ramai untuk mendoakan kesihatan yang baik buat warga emas tersebut.

“Pohon doakan pakcik ini ye semoga cepat sihat. Ya Allah sayu hati ini. Setiap kali jumpa macam ni rasa tak boleh berhenti,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau turut dimaklumkan bahawa masih terdapat individu yang senasib dengan warga emas tersebut.

“Pemandu ambulan menangis masa jumpa. Katanya ustaz terima kasih tolong pakcik ini. Katanya ada seorang lagi terbiar ustaz tolong tengokkan. Kami pergi ke seorang lagi abang.

“Ya Allah, tiada daya upaya kami lagi melainkan pertolongan Kau Ya Allah. Bantulah tolonglah kami Ya Allah,” tulisnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here