61 peratus kes baharu di PKPD bukan warganegara

0
102
Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Sebanyak 61 peratus daripada 638 kes positif Covid-19 yang dikesan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, sebanyak 21,466 orang di kawasan pelaksanaan PKPD telah menjalani ujian Covid-19.

“Setakat ini, 638 kes didapati positif Covid-19 (2.97 peratus). Didapati bahawa daripada jumlah positif Covid-19 ini, seramai 388 kes (61 peratus) adalah bukan warganegara Malaysia dan baki 250 kes (39 peratus) pula adalah warganegara Malaysia.

“PKPD yang mempunyai kes-kes baharuhari ini adalah Menara City One Plaza (satu kes) menjadikan jumlah sebanyak 52 kes; Malayan Mansion (lima) menjadikan jumlah kes sebanyak 12 kes; Pusat Bandar Utara serta Sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur (sembilan) menjadikan jumlah sebanyak 55 kes,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, sebelum ini Kementerian Kesihatan (KKM) telah mempergiatkan
aktiviti pengesanan, penyaringan, ujian, isolasi serta rawatan
terutama kepada kumpulan sasar yang berisiko tinggi dengan
pendekatan tertumpu (targeted approach).

Katanya, antara kawasan tumpuan adalah PKPD, madrasah dan sekolah tahfiz dan stesen kuarantin bagi rakyat yang pulang dari luar negara.

“Setakat ini hasil daripada aktiviti pendekatan tertumpu yang dijalankan, KKM telah berjaya mengesan lebih banyak kes positif Covid-19.

“Bagi aktiviti tertumpu di madrasah atau sekolah tahfiz pula, sehingga semalam didapati 6,229 orang pelajar, guru dan kakitangan telah menjalani ujian Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu katanya, KKM menjangka lebih banyak kes positif akan dikenal pasti dalam masa terdekat memandangkan aktiviti pendekatan tertumpu ini masih diteruskan. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here