66 pegawai polis positif Covid-19, 1,225 orang dikuarantin

0
151

KUALA LUMPUR – Wabak Covid-19 dijangkiti 66 pegawai polis yang disahkan positif sehingga 7 April lalu dan kini dirawat di hospital-hospital seluruh negara.

Memetik portal Malaysia Gazette, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata,  selain itu seramai 1,225 orang pula dikuarantin di kediaman masing-masing.

“Daripada jumlah itu katanya seramai 155 orang adalah pegawai kanan polis, manakala 654 orang adalah pegawai berpangkat rendah.

“Manakala 35 lagi adalah penjawat awam di PDRM dan selebihnya 381 orang adalah kontak rapat mereka yang terdiri daripada ahli keluarga pegawai dan anggota,” katanya dalam sidang akhbar khas Covid-19 di Dewan Theatrette, Bukit Aman hari ini.

Menurut beliau, kebajikan dan kesihatan kesemua anggota PDRM sentiasa diutamakan, oleh itu segala bimbingan menjaga kebersihan diri sepanjang bertugas di lapangan telah dilaksanakan PDRM.

Kata beliau, setiap tugasan warga PDRM termasuk melaksanakan sekatan jalan raya di seluruh negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sentiasa diperhalusi dengan mengambil kira aspek keselamatan anggota dan pegawai sendiri.

Tambah beliau, pihaknya juga menitikberatkan kebajikan anggota bertugas di lapangan dan memerlukan bantuan sebanyak yang mungkin.

Menurut beliau, setiap tugasan akan dilakukan mengikut penggiliran bagi memastikan setiap petugas keselamatan sentiasa cergas semasa di lapangan.

Ditanya mengenai insiden orang awam melanggar anggota keselamatan semasa sekatan jalan raya, katanya, bagi mengelak insiden itu berulang, beliau menasihatkan pasukannya supaya memastikan lokasi sekatan jalan tidak berisiko kemalangan.

“Kebanyakan kes rempuh dalam sekatan pemandu berkata mengantuk dan ada yang tidak perasaan polis mengadakan sekatan jalan di hadapan.

“Ada juga pemandu yang leka menggunakan telefon bimbit semasa memandu sehingga mengundang risiko merempuh sekatan jalan pasukan keselamatan.

“Saya berharap supaya petugas keselamatan setiap sekatan jalan menyemak kedudukan lokasi supaya penglihatan pengguna lebih jelas dan mudah dilihat sekatan dari jauh sebagai langkah mengelak insiden rempuh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here