790 pelajar IPT berlepas malam ini

0
316

CYBERJAYA – Pergerakan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) bermula malam ini apabila seramai 790 pelajar berlepas dari sembilan pusat pelepasan terdiri daripada IPT sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, penghantaran kumpulan pelajar malam ini merupakan yang pertama di seluruh negara.

Beliau berkata, sembilan pusat pelepasan tersebut ialah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam.

Beliau menambah, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Teknologi Malaysia cawangan Kuala Lumpur (UTM KL), Universiti Sains Islam Malaysia cawangan Kuala Lumpur (USIM KL) dan Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah turut terlibat dalam penghantaran pelajar terbabit.

“Pergerakan pelajar ke 17 destinasi di tiga negeri di utara tanah air bermula dari pusat pelepasan pada pukul 9 malam tadi menggunakan 50 bas yang telah disanitasi.

“Daripada jumlah tersebut, 32 bas menuju ke Kedah, Pulau Pinang (13) dan Perlis (lima),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noraini menambah, seorang wakil keluarga akan menjemput pelajar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) atau pejabat daerah yang telah dikenal pasti.

Beliau berkata, bagi keluarga yang tidak dapat menjemput pelajar di lokasi ketibaan, urusan penghantaran pelajar akan diuruskan oleh agensi kerajaan yang terlibat.

Jelas beliau, taburan pelajar IPT awam yang berlepas dari pusat pelepasan IPT ialah 89 pelajar dari UIAM, UM (164), UPM (80), 146 (UiTM Shah Alam), UPNM (50), UTM KL (49), USIM KL (31) dan Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (31).

Beliau berkata, kerajaan sebelum in telah memutuskan untuk membenarkan pergerakan pelajar dari kawasan zon hijau ke kampung halaman yang berada di dalam zon hijau secara berperingkat bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here