99 kes pulih dengan dua kematian hari ini

0
101

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Sebanyak 99 kes telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 3,762 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bilangan kes yang didiscaj hari ini adalah hampir dua kali ganda bilangan kes yang dilaporkan manakala terdapat dua kematian hari ini.

Menurutnya, sehingga 12 tengah hari tadi terdapat 51 kes baharu yang dilaporkan.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,742 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,882 kes di mana mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang akhbar harian hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, sehingga kini, seramai 36 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 16 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

“Jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 98 kes,” katanya.

Beliau berkata, kes kematian ke-97 (kes ke-2,354) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung dan dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 28 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada pukul 3.53 pagi tadi.
“Manakala, kes kematian ke-98 (kes ke-2,806) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

“Pesakit itu mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-1,346 (yang merupakan anak pesakit) telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac dan disahkan meninggal dunia pada semalam pukul 5.43 petang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here