Ada individu memilih hotel sendiri untuk kuarantin

0
262

Oleh SITI AZIELAH WAHI


CYBERJAYA- Kerajaan memperuntukan sejumlah RM150 sehari untuk kos penginapan dan makanan bagi setiap individu yang baru pulang dari luar negara bagi menjalani proses kuarantin wajib.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 45 buah hotel bertaraf tiga bintang ke atas diwartakan oleh kerajaan sebagai pusat kuarantin.

“Semalam seramai 233 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan telahpun dikuarantin secara wajib. Tular dalam media sosial ada pihak mempersoalkan mengenai hotel bertaraf empat dan lima bintang yang digunakan sebagai pusat kuarantin.

Ingin jelaskan bahawa kerajaan membiayai kos untuk bilik dan makan terhad berjumlah RM150 sehari bagi setiap individu dan kos-kos lain seperti dobi dan sebagainya ditanggung oleh individu yang dikuarantin tersebut,” katanya.

Walau bagaimanapun Ismail Sabri berkata, terdapat permintaan daripada individu tertentu untuk memilih hotel mereka sendiri.

“Hotel yang ditanggung kerajaan adalah yang kos RM150 sehari namun kalau memilih yang lebih mahal mereka perlu membayar sendiri harga tersebut,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, kesemua yang pulang dari luar negara termasuk diplomat asing turut diwajibkan menjalani proses kuarantin wajib, dan kos tersebut dibiayai oleh kedutaan mereka.

“Ramai yang sanggup bayar kos mereka sendiri namun kita hanya membenarkan untuk tinggal di hotel-hotel yang ditentukan oleh kerajaan,” katanya.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan semua pihak yang menjalani proses kuarantin mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk tidak boleh keluar dari bilik masing-masing dan tidak dibenakan menerima tetamu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak hotel kerana memberikan kadar RM150 sehari termasuk penginapan dan makanan kerana ia merupakan kadar yang rendah.

“Terima kasih kerana membantu kerajaan, kita ada seminggu saja lagi untuk PKP dan diharap kita teruskan tangungjawab untuk putuskan rantaian Covid-19 supaya tidak merebak ke seluruh negara,” katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here