Ada yang lagi susah daripada kita pada waktu ini

0
244

MUNGKIN ramai yang tidak menyedari, ada satu golongan yang juga agak terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Begitu juga dengan tarikh 2 April tiap-tiap tahun, apakah signifikannya pada golongan tersebut sehingga satu tarikh istimewa diisytihar bagi menyebarkan kesedaran terhadap kewujudan mereka.

Mungkin ramai yang tidak sedar, bahawa tarikh ini telah diisytihar sebagai Hari Kesedaran Autisme Sedunia oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha menyebarkan pemahaman mengenai keadaan perubatan yang dialami oleh golongan istimewa ini.

Paparan media massa sudah cukup menerangkan kepayahan yang perlu dilalui oleh para ibubapa dalam membesarkan seorang anak autistik.

Bayangkan kepayahan yang mereka hadapi dalam melalui tempoh PKP ini.

Cakcibor sendiri ‘hidup’ dalam persekitaran demikian, kerana anak Cakcibor pun anggota golongan istimewa ini.

Hari biasa pun agak sukar dilalui (dahulu), apatah lagi dilingkungi dengan PKP. Amukan anak autistik bukan biasa-biasa tuan dan puan. Kena gigit? Dah lali pun.

Majoriti anak autistik, hidup dalam dunia mereka sendiri. Cara mudah untuk dijelaskan, tingkah laku mereka lebih menjurus kepada ‘hidup terasing’, yakni kurang bergaul dan kurang berinteraksi.

Itulah yang dilakukan pada sesi terapi anak-anak autistik ini, untuk memahami dan menjadi lebih terbuka.

Keterbukaan ini secara tidak langsung, membuka satu lagi pintu mengembangkan lagi intelektual mereka dan mengurangkan gejala autistik tersebut.

Terlepas satu atau dua sesi terapi sudah cukup untuk menganjakkan lagi tempoh perkembangan mereka.

Anak Cakcibor sendiri sepatutnya hadiri tiga sesi berlainan bagi memastikan dia tidak terlepas ‘lengkuk perkembangan’ yang dia lalui, tapi disebabkan PKP, terpaksa dijadualkan semula, dengan yang paling awal hanya akan diadakan pada bulan Oktober nanti.

Jadi, buat sementara ini, Cakcibor dan isteri terpaksa menjadi ‘ahli terapi’ tak bertauliah dalam memastikan anak kami masih berada dalam lengkuk yang betul.

Segala aktiviti harian, dari mandi, tidur dan makan umpama sesi permainan, bagi menarik perhatian si anak untuk berkomunikasi dan berinteraksi.

Demi anak, semua jadi. Walaupun Cakcibor punya tugas hakiki, dan masih perlu laksanakan tanggung jawab tersebut, namun tugasan sebegini perlu dilaksanakan juga.

Sedikit perkongsian ini bukan satu keluhan, tapi sebenarnya satu pembuka mata buat semua bahawa ada orang lagi susah lalui kehidupan dari tuan dan puan semua.

Demi anak, semua jadi. Sendiri mau ingatlah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here