AirAsia lancar kempen Derma Dengan Ikhlas

0
215

CYBERJAYA – AirAsia.com menerusi jenama perniagaan baharu miliknya, Ikhlas.com melancarkan kempen derma dengan kerjasama Yayasan Amanah Assofwah Almalikiyyah bagi membantu golongan memerlukan sempena bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Menurut AirAsia dalam satu kenyataan, kempen Derma Dengan Ikhlas itu merupakan satu inisiatif derma digital awam menerusi sebuah platform yang tulus, selamat dan terjamin bagi individu atau organisasi yang ingin menjalankan tanggungjawab amal mereka.

“Dana tersebut akan digunakan untuk membantu komuniti yang memerlukan serta pasukan barisan hadapan dan dalam masa yang sama membantu peniaga tempatan di bulan Ramadan ini.

“Antara komuniti yang akan menerima sumbangan ini termasuk keluarga yang kurang bernasib baik, pelarian dan badan bukan berasaskan keuntungan seperti Soup Kitchen dan rumah anak-anak yatim,” katanya.

Tambah kenyataan itu, sebahagian daripada dana tersebut juga akan digunakan untuk membeli juadah berbuka puasa bagi pasukan barisan hadapan yang bertugas seperti pegawai perubatan, polis, tentera dan lain-lain.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, kempen tersebut yang telah bermula sejak 20 April lalu akan dibuat sehingga 22 Mei ini.

Sementara itu, Ketua Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, meskipun sambutan bulan Ramadan pada tahun ini jauh berbeza berbanding sebelum ini, satu perkara yang tidak akan berubah adalah amalan bersedekah.

“Jadi, kami berbesar hati untuk melancarkan sebuah inisiatif yang memberi peluang kepada semua orang untuk bekerjasama dan bersama membantu mereka yang memerlukan pada bulan mulia ini.

“Inisiatif ini ditubuhkan untuk menyediakan sebuah platform bagi membantu para penderma menyalurkan sumbangan ikhlas mereka, yang akan digunakan untuk tujuan sedekah bulan Ramadan.

“Kami berharap untuk mengedar barang keperluan asas kepada 5,000 buah keluarga dan juadah berbuka puasa kepada lebih 20,000 individu disepanjang bulan Ramadan ini,” ujarnya.

Katanya lagi, bagi membantu sektor perniagaan milik peniaga perusahan kecil dan sederhana (PKS) terus bertahan dalam waktu sukar sekarang, pihaknya juga akan membeli bekalan daripada lebih 100 peniaga PKS.

“Kami sedar bahawa kami tidak akan dapat menjayakan inisiatif ini tanpa bantuan anda, jadi kami ingin mengajak semua yang berkongsi visi dan semangat kami untuk bekerjasama dengan kami.” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here