Aisyah Sleepy Malaysia edar tuala wanita percuma bantu golongan memerlukan

0
809

Oleh NINA FARZUIN MD. SHAROM

CYBERJAYA – Prihatin dengan nasib menimpa segelintir rakyat yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), produk tuala wanita, Aisyah Sleepy Malaysia melaksanakan inisiatif menghulurkan bantuan kepada mereka memerlukan.

Pengusahanya, Ahmad Shah Mohammed Yussof berkata, walaupun terdapat bantuan disalurkan kepada golongan memerlukan, kebanyakannya hanyalah memberi perhatian kepada barangan makanan sedangkan tuala wanita juga keperluan penting.

“Bayangkan mereka mahu beli makanan pun tidak mampu, apatah lagi tuala wanita. Ia keperluan bagi mereka dan sangat penting.

“Jadi kami jalankan inisiatif sendiri dan juga menyertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk edarkan tuala wanita secara percuma kepada mereka memerlukan.

“Mana-mana NGO yang memerlukan tuala wanita untuk diedarkan boleh hubungi kami,” katanya ketika dihubungi.

Bercerita mengenai perkembangan pasaran produk, Ahmad Shah berkata, sepanjang PKP perniagaan yang dijalankan tidak terjejas namun terpaksa memperlahankan sedikit aktiviti promosi mengenai produknya.

“Sebelum ini strategi kami memperkenalkan Aisyah Sleepy melalui aktiviti promosi di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) di mana kami cuba edarkan secara percuma kepada para pelajar. Jadi sepanjang PKP ini kami tidak dapat jalankan promosi seperti biasa.

“Alhamdulillah, dari segi penjualan pula, semuanya masih dalam keadaan yang baik sebab seperti kita tahu tuala wanita adalah barangan keperluan, jadi pembeliannya tidak akan terhenti,” katanya.

Katanya, bekalan produk juga tidak mengalami sebarang masalah memandangkan stok barangan baharu sahaja tiba.

“Produk Aisyah Sleepy adalah dari Turki, jadi mungkin sebab itu tiada masalah dari segi penghantaran.

“Kami juga telah mengedarkan produk ini kepada pengedar kami di beberapa kawasan, jadi stok untuk pembeli masih lagi ada.

“Insya-Allah, bila PKP ini tamat dan keadaan kembali pulih seperti biasa, kami akan memperluaskan rangkaian Aisyah Sleepy ke Sabah dan Sarawak kerana di sana pun permintaan agak tinggi,” katanya.

Aisyah Sleepy Malaysia adalah tuala wanita pertama menggunakan kombinasi teknologi fiber kapada dan buluh di negara ini.

Lebih membanggakan ia diusahakan sepenuhnya oleh pengedar Muslim yang di bawa khas dari Turki dan boleh didapati di pasar raya Raudhah Grocer, Malakat Mall.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here