Aktiviti survelan bantu kesan penularan Covid-19.

0
138

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Sebanyak 34,113 sampel telah diambil daripada aktiviti-aktiviti survelan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak 6,100 adalah sampel klinikal survelan iaitu Influenza Like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infection (SARI).

Menurutnya, 71 sampel disahkan positif Covid-19 (1.16 peratus) iaitu kes ILI; 8 kes positif Covid-19 daripada 1,322 sampel dan kes SARI: 63 kes positif Covid-19 daripada 4,778 sampel.

“Bagi kes SARI terdapat penurunan kes positif Covid-19 yang ketara di antara minggu epidemiologi ke-17 (25 April), di mana hanya sebanyak tiga sampel disahkan positif daripada 2,168 sampel kes SARI yang telah diambil berbanding dengan minggu epidemiologi ke-12 (28 Mac), di mana 33 sampel disahkan positif daripada 263 jumlah sampel kes SARI.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga memantau keputusan ujian Covid-19 yang dijalankan di sektor swasta, di mana ujian ini dihantar ke makmal swasta didapati terdapat 84 kes positif dikesan daripada 22,081 ujian yang dijalankan di situ,” katanya pada sidang akhbar harian hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, aktiviti survelan ini sememangnya bertindak sebagai sistem pengesanan dan amaran awal bagi penularan Covid-19 di negara ini.

Jelasnya, KKM akan terus menjalankan aktiviti survelan walaupun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, di mana aktiviti ini akan terus dimantapkan lagi termasuk di sektor swasta dan melibatkan pelbagai zon.

“Aktiviti-aktiviti survelan itu merangkumi survelan klinikal ILI dan SARI di klinik-klinik dan hospital KKM.

“Persampelan ILI meliputi semua pesakit yang datang ke klinik-klinik kesihatan ini dengan gejala demam (suhu lebih daripada 38°C) dengan batuk dan sakit tekak, namun tanpa sebarang risiko terdedah kepada Covid-19 yang diketahui,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak lima sampel akan diambil dari setiap lokasi sentinel tersebut dan dihantar ke makmal untuk ujian pengesanan Covid-19 bagi analisa survelan ini.

“Manakala, persampelan SARI pula adalah melibatkan ujian pengesanan Covid-19 untuk semua pesakit dengan jangkitan paru-paru (pneumonia) dari semua hospital KKM di negara ini,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here