
CYBERJAYA- “Harapanku…ini bukanlah lambaian terakhir daripada isteri dan anakku…ujian ini terlalu berat buatku sebagai ketua keluarga.
Itu luahan Mohd. Imran Ramdan dalam status Facebook miliknya selepas isteri dan anak lelakinya disahkan positif Covid-19 dan dibawa ke hospital.
Terdahulu pada 5 April, bapanya telah disahkan positif Covid-19 dan dibawa ke hospital dengan ambulans pada pukul 10.30 malam.
“Tak ku sangka, malam semalam abahku ‘diangkut’, malam ini isteri dan anakku pula diangkut.. setelah di siang hari tadi bertalu-talu panggilan doktor pihak KKM (Kementerian Kesihatan) yang membuatku jadi huru hara dan haru biru.

“Kesudahannya isteri dan anak lelakiku positif…aku negatif. Allah dah aturkan semua ini untuk aku…maka tinggal lah aku disini menggalas tugas sebagai ibu kepada anak yang lain khususnya Yusuf Arjuna yang berumur sembilan bulan yang menyusu badan sepenuhnya… Tadi dah ‘training’ guna susu botol.. harap tidak meragam lah Yusuf ni… Allah..rabbi yassir..,” katanya dalam Facebook miliknya semalam.

Dalam status berkenaan, Mohd. Imran yang tinggal di Bandar Baru Ibrahim Majid iaitu kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) memohon doa orang ramai buat keluarganya.
Pada mulanya, dalam status terdahulu, Mohd. Imran menyatakan, hanya anak lelakinya sahaja yang disahkan positif.
“Bila doktor dari KKM telefon nak jemput ke hospital anak lelaki aku ni…Muhammad Rayyan Danish…Kau baru 6 tahun… Masuk tandas pun nak berteman….Mandi pun nak diperhatikan.
“Ayah reda dengan ujian ini…. ayah mesti ada sifat seperti atuk yang dah diangkut malam tadi.. atuk senyum sahaja… Tapi ayah tak sekuat itu nak….
“Ayah sudah bincang dengan doktor supaya abang (Muhammad Rayyan Danish) diletakkan sebelah katil atuk.. mudah-mudahan atuk dapat tengok-tengokkan abang,” katanya.
Pada 5 April, Mohd. Imran dalam status Facebooknya memaklumkan abahnya mendapat panggilan daripada Kementerian Kesihatan yang menyatakan positif Covid-19.

“Abah dengan senyuman dan menadah tangan ucapkan Alhamdulillah…Abah memang seorang yang sangat penyabar dan sentiasa redha dengan ketentuan Allah.. semoga abah cepat balik,” katanya.-MT