Alat bantuan pernafasan rekaan Petronas rawat pesakit Covid-19

0
455

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggunakan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) sebagai alat bantuan pernafasan bagi membantu merawat pesakit Covid-19 di negara ini.

Melalui hantaran dalam laman Facebook rasmi KKM hari ini, satu sesi sidang video dijalankan antara Petronas yang diwakili oleh Naib Presiden Kumpulan Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran, Dzafri Sham Ahmad, dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

“Sidang video itu bertujuan membincangkan dengan lebih terperinci keperluan penggunaan alat bantuan pernafasan CPAP bagi membantu merawat pesakit Covid-19 dan yang mengalami masalah kesukaran bernafas di negara,” kata KKM menurut hantaran tersebut.

Menurut KKM, CPAP adalah alat bantuan pernafasan yang dibangunkan oleh Petronas dalam pasukan Formula One Mercedes-AMG Petronas.

“CPAP telah digunakan untuk membantu pesakit Covid -19 di Itali dan China yang mempunyai masalah jangkitan paru-paru serius.

“Ia juga telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kesihatan United Kingdom (NHS). Penggunaan CPAP ini dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan ventilator dalam kalangan pesakit tersebut, “kata KKM lagi.

Pada hantaran tersebut KKM merakamkan penghargaan kepada Petronas yang membantu kementerian dalam aspek penyediaan alat bantuan pernafasan.

“KKM amat berharap agar Petronas dapat memberikan kerjasama dan komitmen berterusan bukan sahaja semasa penularan wabak Covid-19 ini tetapi juga pada masa akan datang,” menurut hantaran tersebut.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here