‘Apa salahnya beli produk Muslim untuk sumbangan golongan memerlukan’

0
182

CYBERJAYA – Ahli-ahli politik beragama Islam ditegur menunjukkan contoh baik kepada rakyat dengan memastikan barangan sumbangan kepada golongan memerlukan adalah daripada produk Muslim.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, teguran itu dibuat bagi ahli-ahli politik yang sudah mendapat kuasa supaya istiqomah dalam menyokong kempen tersebut.

Beliau berkata, sudah lebih setahun kempen Beli Produk Muslim atau dikenali BMF dilancarkan dan lebih membanggakan ia adalah inisiatif serta gerakan daripada rakyat sendiri.

“Pada waktu krisis Covid-19 ini, kita bersungguh-sungguh mengagihkan sumbangan berbentuk barangan asas kepada rakyat yang memerlukan.

“Inilah peluang buktikan bahawa benar-benar mempraktikkan semangat BMF dengan memastikan barangan sumbangan tersebut adalah produk Muslim atau sekurang-kurangnya dibeli dari kedai Muslim jika produk Muslim tidak mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aminuddin menambah, beliau difahamkan barangan asas keluaran pengusaha Muslim seperti beras, gula, tepung, minyak masak dan sebagainya sudah banyak berada di pasaran.

“Mereka bergelar wakil rakyat punyai capaian luas, pegawai bertugas yang cekap serta sumber banyak pasti tidak ada masalah mendapatkan bekalan barangan tersebut. Bak kata pepatah, ‘hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.’

“Inilah masanya membuktikan kepada rakyat yang produk Muslim punyai mutu kualiti baik, dengan menghantar produk tersebut dalam bentuk sumbangan ke pintu-pintu rumah,” tegasnya. 

Beliau berkata, dengan berbuat demikian, mereka dapat membantu pengusaha-pengusaha kecil itu yang terjejas teruk dengan krisis wabak berkenaan.

“Rakyat sudah buktikan yang mereka sanggup bersusah payah mencari produk Muslim untuk membangunkan ekonomi umat.

“Mengapakah para pemimpin tidak mampu berbuat demikian pula? Jangan sampai rakyat kecewa dan putus harapan dengan pemimpin Muslim kita kerana ‘cakap tak serupa bikin’,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here